
NEW DELHI: Sebuah kapal kontena sepanjang 184 meter yang berdaftar di Liberia terbalik di perairan selatan India ketika dalam perjalanan menuju ke pelabuhan Kochi.
Kapal MSC ELSA 3 itu tiba di pelabuhan Vizhinjam, Kerala pada 21 Mei dan berlepas pada 23 Mei.

Pusat Penyelaras Penyelamat Maritim (MRCC) di Mumbai sebelum ini menerima isyarat kecemasan bahawa kapal terbabit condong 26 darjah kira-kira 38 batu nautika (70 kilometer) ke barat daya Kochi, menurut Pengawal Pantai India pada Sabtu.
Daripada 24 anak kapal, seramai 21 orang berjaya diselamatkan manakala tiga lagi, termasuk kapten kapal kekal berada di atas kapal bagi membantu operasi menyelamat, menurut kenyataan itu di platform X.

Pengawal Pantai India terus memantau situasi berkenaan demi memastikan keselamatan kru serta mengelak sebarang kerosakan alam sekitar.
“Beberapa kontena jatuh ke dalam laut akibat keadaan kapal yang condong; penilaian risiko sedang dijalankan. Segala usaha sedang diambil untuk mengekalkan kestabilan kapal,” menurut kenyataan itu.
– Bernama