
SEPANG: Kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) akan memasuki zon kuning pada 9.18 malam ini dan dijangka memasuki zon merah Khamis ini, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu berkata setakat ini, semua delegasi Malaysia yang menyertai GSF berada dalam keadaan sihat dan baik.
Beliau berkata enam rakyat Malaysia yang berada di kapal Johnny M yang dilaporkan mengalami kebocoran dan kerosakan teknikal hari ini, juga berada dalam keadaan selamat dan telah dipindahkan ke kapal lain.
“Kita menjangkakan kalau tidak ada apa-apa aral, kita akan mula memasuki zon kuning pada 9.18 malam waktu Malaysia.
“Ketika ini, kita berada sekitar dalam 366 batu nautika daripada pesisiran Gaza. Tiada laporan aktiviti dron dilaporkan semalam dan delegasi Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan baik,” katanya dalam sidang media harian di SNCC MAPIM di sini hari ini.
Sani Araby turut mengesahkan kapal Johnny M yang berfungsi sebagai bot pemerhati tidak dapat meneruskan pelayaran menjadikan 46 kapal yang masih meneruskan misi itu.
Sementara itu, beliau turut menafikan laporan kononnya terdapat kapal delegasi Malaysia yang terbakar sekali gus memohon semua pihak tidak menyebarkan berita tidak benar.
“SNCC sekali lagi menegaskan agar semua pihak merujuk SNCC sebagai sumber yang sahih. Sebarang maklumat yang tidak sahih hanya akan memenangkan propaganda pihak zionis dan akan membina naratif yang salah,” katanya.
Ditanya adakah kapal tentera Itali dan Sepanyol akan terus mengiringi GSF selepas memasuki zon kuning, beliau berkata setakat ini, tiada maklumat bahawa kapal berkenaan akan berundur.
Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Mereka merupakan sebahagian aktivis daripada 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan ke atas wilayah itu.
Flotila berkenaan sebelum ini berdepan pelbagai rintangan termasuk serangan dron.
Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
-Bernama