

DITAHAN…Kapal bersama tiga kru dan dua penumpangnya ditahan untuk siasatan lanjut.
MIRI: Sebuah kapal bersama tiga kru dan dua penumpang ditahan semalam selepas gagal mengemukakan dokumen pertukaran nakhoda.
Kapal itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri yang menjalankan OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 sekitar 11.16 pagi.
Menurut Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, kapal itu berada pada kedudukan kira-kira 2.89 batu nautika barat laut Kuala Baram.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal itu telah gagal mengemukakan dokumen wajib berkaitan pertukaran nakhoda seperti yang termaktub dalam undang-undang perkapalan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, tiga kru dan dua penumpang, terdiri daripada dua warga tempatan, seorang warga Indonesia, seorang warga India, dan seorang warga Britain berusia antara 24 hingga 54 tahun, telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,”ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling