Kantoi bawa syabu dalam beg silang, lelaki 32 tahun diberkas polis di Kampung Sessang

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KABONG: Tindakan berani seorang lelaki membawa dadah disyaki syabu di dalam beg silang yang dipakainya membawa padah apabila dia diberkas sepasukan polis dalam Operasi Khas Op Tapis di Kampung Sessang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan oleh pasukan Task Force Khas Op Tapis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dalam operasi yang dijalankan antara 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan hasil risikan yang memfokuskan kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi bagi aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar Kampung Sessang.

SEORANG lelaki tempatan berusia 32 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah diberkas polis selepas sejumlah dadah dipercayai jenis syabu ditemukan dalam satu operasi khas di Kampung Sessang, Kabong, hari ini. Foto: IPD Saratok

“Hasil pemeriksaan ke atas beg silang yang dipakai suspek telah menemukan tiga paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal kasar yang disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DSP Mathew berkata, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Saratok bagi tindakan lanjut sebelum menjalani ujian saringan awal air kencing.

Keputusan ujian mendapati lelaki yang berasal dari Sarikei itu positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Siasatan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah selepas pernah ditahan di Sarikei pada tahun 2020 dan 2021 di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes disiasat oleh Pegawai Penyiasat, Sarjan Roslinda Utubesar di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman mengikut peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Oleh Adi Safarman