Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Kanser endometrium semakin meningkat dalam kalangan wanita muda
  • KESIHATAN

Kanser endometrium semakin meningkat dalam kalangan wanita muda

Utusan Sarawak 14 hours ago

KUALA LUMPUR:  Kanser endometrium (korpus uteri) kini menjadi kanser kelima paling lazim dihidapi wanita di Malaysia, dengan kadar prevalens sebanyak 5.6 peratus.

Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi, dan Gine-Onkologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Andi Anggeriana Andi Asri berkata kanser endometrium atau kanser rahim yang selalunya tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal, kini semakin banyak menyerang wanita berusia bawah 50 tahun termasuk mereka yang berusia awal 30-an.

“Pendarahan rahim yang tidak normal, sama ada selepas menopaus atau pendarahan tidak teratur ialah gejala kanser endometrium yang paling biasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata gejala lain termasuk sakit di kawasan pelvis, penurunan berat badan tanpa sebab, rasa sakit semasa membuang air kecil atau semasa hubungan seksual, dan lelehan faraj yang luar biasa.

“Golongan wanita muda ini sering datang untuk rundingan kesuburan atau masalah hormon tidak seimbang, namun akhirnya mendapati mereka menghidap kanser endometrium. Pendedahan ini amat memeritkan, terutama apabila mereka merancang atau baru sahaja ingin berkeluarga,” katanya.

Beliau berkara trend itu membimbangkan kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan, tetapi juga kesuburan. Obesiti, gaya hidup tidak aktif dan ketidakseimbangan hormon, khususnya yang berkaitan dengan sindrom ovari polisistik (PCOS), berpotensi menjadi faktor penyumbang disebabkan paras estrogen tinggi yang boleh menebalkan lapisan rahim.

Dr Andi Anggeriana berkata sekiranya dikesan awal, kanser endometrium boleh dirawat dengan kaedah yang mengekalkan kesuburan, bergantung pada tahap dan gred tumor.

“Bagi wanita yang didiagnosis awal, terdapat kemungkinan untuk mengekalkan rahim dan merawat kanser dengan terapi hormon,” katanya dan menambah pendekatan ini memerlukan pemantauan rapi dan berisiko untuk berulang kembali.

Bagi mereka yang tidak dapat mengekalkan kesuburan, beliau berkata kesan emosi boleh terjejas kerana ramai dalam kalangan mereka yang masih belum memulakan perancangan keluarga, menjadikan diagnosis lebih sukar untuk diterima.

Mengenai pilihan rawatan dan kemajuan terkini, Dr Andi Anggeriana berkata rawatan diperibadikan mengikut keadaan individu termasuk tahap dan gred kanser, umur pesakit, dan hasrat untuk mengekalkan kesuburan.

Rawatan utama katanya, ialah pembedahan melibatkan histerektomi total dan kemungkinan pembuangan nodus limfa, diikuti kemoterapi dan radioterapi bergantung pada tahap kanser.

Beliau berkata sebagai tambahan kepada rawatan standard, terapi ubat yang disasarkan juga disediakan.

Bagi kanser tahap awal, terapi hormon boleh menjadi pilihan kepada wanita muda yang ingin mengekalkan kesuburan, bagaimanapun ia memerlukan pemantauan teliti kerana rawatan itu mungkin mengawal kanser secara sementara, memberikan wanita masa untuk hamil.

Dengan kemajuan teknologi perubatan, pembedahan bantuan robotik dalam onkologi ginekologi kini semakin biasa digunakan, membolehkan penyingkiran tisu kanser yang lebih tepat sambil mengekalkan tisu sihat.

“Pembedahan bantuan robotik menawarkan ketepatan yang tinggi, potongan lebih kecil, dan tempoh pemulihan yang lebih cepat berbanding pembedahan tradisional, menghasilkan parut yang lebih kecil, kurang kesakitan dan wanita semua peringkat umur dapat kembali menjalankan aktiviti harian dengan lebih cepat,” katanya.

Dr Andi Anggeriana turut menekankan kepentingan pemeriksaan ginekologi secara berkala, terutama untuk wanita yang mempunyai faktor risiko seperti obesiti, PCOS, atau sejarah keluarga yang menghidap kanser.

Walaupun pembedahan bantuan robotik menawarkan rawatan berkesan dengan kesan sampingan sedikit, beliau berkata pengesanan awal kekal menjadi kunci untuk mengekalkan kesuburan dan meningkatkan peluang pemulihan.

 “Wanita muda perlu lebih peka terhadap kesihatan reproduktif mereka dan segera mendapatkan nasihat perubatan sekiranya terdapat simptom luar biasa. Kesedaran dan campur tangan awal ialah langkah terbaik melawan kanser endometrium. Lebih awal, lebih baik, supaya anda dapat hidup lebih lama dan bermakna,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Kunyah ais petanda anemia?
Next: 222 pelajar IPT hidap HIV tahun lepas – Lukanisman

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.