
DATO Mohd Chee Kadir merasmikan Program Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Daerah Kabong kelmarin. Foto: ADUN Kabong
KABONG: Isu kanser bukan sekadar melibatkan aspek perubatan semata-mata, malah memberi kesan besar terhadap kesejahteraan keluarga serta komuniti, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Menurut beliau, apabila seseorang disahkan menghidap kanser, seluruh ahli keluarga turut terkesan daripada segi emosi, kewangan dan sosial.
Justeru, pendekatan menyeluruh melibatkan sokongan komuniti dan agensi berkaitan amat penting dalam membantu pesakit serta keluarga mereka melalui cabaran tersebut.
“Isu kanser bukan sekadar isu perubatan, malah turut memberi kesan besar terhadap kesejahteraan keluarga dan komuniti. Sebab itu kesedaran awal dan sokongan bersama amat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Daerah Kabong yang dianjurkan bersama Persatuan Pakar Perubatan Keluarga (FMSA) Sarawak, Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong.
Chee Kadir menegaskan bahawa program bertemakan ‘Juh Berambeh: Asak Ati, Sik Ado Kanser’ menjadi platform penting untuk menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat agar berani tampil menjalani saringan kesihatan dan pemeriksaan awal.
Katanya, kanser yang dikesan pada peringkat awal mempunyai peluang rawatan yang lebih berkesan dan mampu meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit, sekali gus mengurangkan beban jangka panjang terhadap keluarga.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti saringan kesihatan dan saringan kanser dijalankan termasuk ujian iFOBT, mammogram, ujian HPV serta saringan kanser mulut.
Turut diadakan pameran kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak sekolah rendah, aktiviti Explorace pelajar sekolah menengah serta demonstrasi hidangan sihat bagi menggalakkan amalan pemakanan seimbang.
Antara agensi dan reruai yang terlibat ialah NHSI Klinik Kesihatan Kabong, MAKNA, LPPKN, Farmasi (Kenali Ubat Anda), Unit Pergigian, Unit Vektor Denggi, Seksyen Inspektorat dan Perundangan berkaitan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, Unit Psikologi Minda Sihat, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mengadakan demonstrasi keselamatan kebakaran.
Program turut diserikan dengan sesi Pocket Talk oleh Pakar Perubatan Keluarga mengenai pencegahan dan saringan kanser, ceramah kesihatan pergigian berkaitan kanser mulut serta kuiz interaktif bagi meningkatkan kefahaman masyarakat.
Pada sebelah petang, pakar perubatan turut mengadakan lawatan ke rumah pesakit kanser dan pesakit terlantar selain saringan oleh MAKNA bagi memberi sokongan berterusan.
Dalam pada itu, Chee Kadir memaklumkan komitmen berterusan untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan di Kabong termasuk usaha mewujudkan pusat hemodialisis sendiri serta menyediakan sokongan logistik dan peralatan bagi mempertingkatkan kecekapan saringan kesihatan di peringkat daerah.
Beliau berharap program seumpama ini dapat memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan rakan strategik, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa pencegahan dan pengesanan awal kanser merupakan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan generasi akan datang.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam), Dr. Muhammad Nazarudin Bahari; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak, Semawi Mohamad; Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee; Ketua Pakar Perubatan Keluarga Sarawak, Dr. Siti Zaleha Suleiman serta Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr. Mohamad Norhaizam Ahmad @ Narawi.
Oleh Adi Safarman