Kangkung, sayuran hijau sangat rendah kalori, padat dengan nutrien

Facebook
WhatsApp
KEKAL JADI PILIHAN...Sayur kangkung kekal menjadi antara sayuran paling digemari rakyat kerana mudah dimasak, berkhasiat dan dijual pada harga yang berpatutan.

MIRI: Kangkung mungkin kelihatan sebagai sayuran biasa, namun popularitinya tidak pernah pudar.

Mudah diperoleh, harganya berpatutan dan boleh dimasak dalam pelbagai cara menjadikan kangkung antara sayur kegemaran rakyat Malaysia.

Sama ada dijadikan kangkung belacan, kangkung goreng bawang putih, masak lemak, tumis sambal atau dimasak bersama udang dan sotong, sayuran hijau ini sentiasa menjadi pelengkap hidangan di rumah mahupun di restoran.

Teksturnya yang rangup serta rasanya yang menyerap pelbagai jenis perencah menjadikan kangkung sesuai dipadankan dengan pelbagai lauk.

SAYUR kangkung

Selain enak, kangkung turut mengandungi pelbagai khasiat.

Berdasarkan maklumat daripada Nutritionistkkm. Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan (KKM), sayuran hijau ini sangat rendah kalori tetapi padat dengan nutrien penting.

 Sayuran ini kaya dengan vitamin A dan C, zat besi, kalsium serta serat yang membantu mengekalkan kesihatan mata, menguatkan sistem imun dan menyokong sistem penghadaman.

Kandungan antioksidannya juga membantu melindungi sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.

Di Sarawak, kangkung sering dijual segar di pasar tamu dan pasar tani dengan harga yang mampu dimiliki, menjadikannya pilihan utama isi rumah.

Ramai peniaga makanan turut menjadikan kangkung belacan sebagai menu wajib kerana permintaannya yang konsisten daripada pelanggan.

Walaupun trend pemakanan sentiasa berubah dan pelbagai sayuran baharu diperkenalkan di pasaran, kangkung terus membuktikan kehebatannya.

Dengan rasa yang enak, harga yang mesra pengguna dan khasiat yang tinggi, sayur tradisional ini kekal relevan serta menjadi pilihan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia.

Oleh Liong Chai Ling