KUCHING: Kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun juga memahami apa makna Covid-19 dan tiada masalah mengamalkan norma baharu dalam memulakan sesi persekolahan hari pertama semalam.
Tinjauan Utusan Sarawak di Tabika Perpaduan Sekama semalam mendapati pihak sekolah, kanak-kanak termasuk ibu bapa semuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Menurut Guru Tabika Perpaduan Sekama, Noorjuliawani Chula, pihaknya menetapkan beberapa panduan untuk dipatuhi para ibu bapa dan anak-anak bagi menjaga keselamatan masing-masing.
Bercerita mengenai pengalaman hari pertama mengajar dalam norma baharu, beliau berkata, tiada sebarang masalah dan murid-muridnya walaupun baharu berusia lima hingga enam tahun, namun masing-masing mendengar arahan dengan baik.
“Mereka mudah menerima arahan guru, tiada sebarang masalah dan saya yakin ia akan bertambah baik dari hari ke hari apabila ia diamalkan nanti.
“Murid-murid juga pandai berbual dan berinteraksi sesama sendiri dari jauh serta memahami dan tahu apa itu Covid-19,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, di Tabika Perpaduan Sekama, semalam.
Tambahnya, beliau turut telah memberikan penerangan kepada semua muridnya supaya mereka lebih memahami mengenai pandemik ini.
“Mengenai komitmen ibu bapa, saya bersyukur kerana semua memberikan kerjasama yang sangat baik dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Antara yang kita amalkan adalah semua murid mesti menggunakan pelitup muka apabila berada di dalam kelas, ibu bapa juga mesti menggunakan pelitup muka semasa menghantar dan mengambil anak-anak.
“Kanak-janak juga tidak dibenarkan membawa beg sekolah dan hanya membawa botol air suam,” jelasnya.
Ujarnya, tabika tersebut sepatutnya menempatkan seramai 18 orang kanak-kanak, namun hanya sepuluh orang murid-murid mula turun semalam dengan selebihnya belum bersedia untuk ke turun.
Semalam merupakan hari pertama sekolah dibuka di seluruh negara untuk kanak-kanak prasekolah, taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) selepas lebih tiga bulan ditutup susulan pandemik Covid-19.
Pembukaan semula institusi ini menyaksikan setiap murid yang tiba lengkap memakai pelitup separuh muka, diperiksa suhu badan, mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman
sebelum masuk ke kelas selain ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak setakat pintu utama.
Sementara itu, seorang bapa, Mohamad Yuzairul, 33, berkata, beliau yakin untuk mengakui untuk menghantar anaknya ke sekolah kerana percaya SOP yang ketat oleh pihak sekolah mampu menanganinya.
“Saya juga ada menerangkan serba sedikit kepada anak mengenai apa yang boleh buat dan apa yang tak boleh buat dan dia agak memahami dan bersemangat untuk ke sekolah mungkin sebab bosan terlalu lama duduk di rumah sebelum ini,” katanya.
Oleh Zarina Abdullah