
DARO: Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan terapung di Sungai Daro berhampiran Kampung Lemang Pek, di sini, petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, mangsa ditemui kira-kira 4.00 petang ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Menurut beliau, seramai 68 anggota gabungan pelbagai agensi bersama penduduk kampung terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan 12 bot yang digerakkan menyusuri Sungai Daro sejak 2.20 petang.
“Pasukan SAR mengesan kelibat mangsa yang terapung di sungai berhampiran Kampung Lemang Pek sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis bagi tujuan pengecaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dinaikkan di Jeti Kampung Panchor dan dibawa ke hospital menggunakan kenderaan polis untuk pengesahan kematian.
Operasi SAR ditamatkan pada 4.45 petang.
Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Aqilla Nasuha Shamsol dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar melalui pintu belakang rumah tanpa disedari kedua-dua ibu bapanya di Kampung Panchor, di sini, semalam.
Bapa mangsa dilaporkan menemui kesan tapak kaki menuju ke arah sungai sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak bomba.
Oleh Tarani Lanting