
DARO: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dikhuatiri terjatuh ke Sungai Daro selepas dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Panchor, di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.28 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro digerakkan ke lokasi.
Menurut Komander Operasi, maklumat awal mendapati mangsa dipercayai keluar sendiri melalui pintu belakang rumah tanpa disedari kedua-dua ibu bapanya.

“Bapa mangsa kemudiannya menemui kesan tapak kaki kanak-kanak tersebut yang menuju ke arah sungai sekitar 1.00 petang sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melibatkan pencarian di sekitar tebing sungai serta kawasan hutan di belakang rumah pelapor dalam radius kira-kira 500 meter.
Usaha pencarian turut dibantu penduduk kampung menggunakan perahu dengan menyusuri Sungai Daro ke hulu dan hilir.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan.
Oleh Tarani Lanting