
MUKAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut manakala sepupunya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan langgar lari di Kampung Penipah dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian berlaku sekitar 7.00 petang ketika mangsa yang berusia 17 tahun menunggang motosikal dipercayai sedang membelok masuk ke simpang Kampung Penipah sebelum dirempuh sebuah kenderaan dari arah belakang.
“Akibat perlanggaran itu, penumpang motosikal iaitu seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Mukah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penunggang motosikal pula mengalami kecederaan di muka dan kaki namun berada dalam keadaan stabil.
Polis kini sedang mengesan pemandu dan kenderaan yang terlibat dalam kejadian itu kerana masih belum tampil membuat laporan polis.
“Saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Tarani Lanting