Kanak-kanak maut, hormati siasatan polis – Fatimah

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Sri Fatimah Abdullah. Foto hiasan. Foto Bernama

SIBU: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menyifatkan kematian seorang kanak-kanak dalam kejadian tragik di Sibu sebagai sesuatu yang amat menyedihkan dan mengejutkan.

Beliau berkata, kehilangan seorang anak merupakan tragedi yang amat berat bagi sesebuah keluarga dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Tiada seorang kanak-kanak pun sepatutnya menjadi mangsa keganasan dalam apa jua keadaan,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.

Fatimah berkata, beliau difahamkan polis sedang menjalankan siasatan dan seorang suspek telah direman bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang gangguan.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, saya akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak (BPAK) memantau perkembangan kes ini.

“Pada masa sama, kita perlu memastikan keluarga yang terjejas mendapat sokongan kebajikan serta bantuan psikososial yang sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat, gambar atau spekulasi yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh menambahkan kesedihan keluarga mangsa dan berpotensi menjejaskan proses siasatan.

“Buat masa ini, marilah kita bersama-sama mendoakan kekuatan dan ketabahan buat keluarga mangsa serta semua yang terkesan dengan tragedi yang amat menyayat hati ini,” katanya lagi.

Oleh Akun Giman