Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Kanak-kanak istimewa sumber kekuatan DJ Dave
  • HIBURAN

Kanak-kanak istimewa sumber kekuatan DJ Dave

Utusan Sarawak 7 hours ago
DJ Dave meluangkan masa meraikan kanak-kanak istimewa pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-78, sekali gus meneruskan tradisi kebajikan yang diamalkan sejak lebih lima dekad lalu. Foto Bernama.

KUALA LUMPUR: Bukan sambutan mewah atau hadiah berharga menjadi pengisian ulang tahun kelahiran penyanyi legenda, DJ Dave, sebaliknya tawa dan senyuman kanak-kanak istimewa yang sering terpinggir daripada perhatian masyarakat.

Pada usia 78 tahun, DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah terus mengekalkan tradisi yang diamalkannya sejak lebih lima dekad lalu dengan meraikan kanak-kanak istimewa, yang disifatkannya sebagai sumber kekuatan dan inspirasi dalam perjalanan hidup serta kerjayanya.

“Inilah perkara yang memberikan saya semangat untuk terus hidup dan berkongsi kegembiraan bersama mereka. Setiap kali melihat keceriaan pada wajah kanak-kanak ini, saya berasa lebih bersyukur dengan kehidupan yang dikurniakan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya di sini, baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, sekitar 70 kanak-kanak istimewa daripada beberapa rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang diraikan menerusi pelbagai aktiviti, termasuk persembahan nyanyian, acara memotong kek, aktiviti menunggang kuda serta penyampaian hadiah.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Ingin Bersua dan Menjelang Hari Raya itu berkata, tradisi berkenaan tidak pernah terhenti sepanjang 55 tahun lalu, kecuali sekali sekitar 15 tahun lepas apabila terpaksa ditangguhkan berikutan masalah kesihatan sebelum diteruskan semula.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dorongan untuk terus konsisten meraikan kanak-kanak istimewa bermula sebelum beliau dikenali sebagai penyanyi, hasil galakan seorang kanak-kanak istimewa yang memintanya menyanyikan lagu Hindustan dalam bahasa Melayu.

“Ketika itu, saya masih bekerja di Pos Malaysia dan menyanyi sekadar hobi tanpa sebarang rakaman. Namun, permintaan kanak-kanak istimewa tersebut memberi dorongan kepada saya untuk mencuba rakaman dan seterusnya lebih serius dalam bidang seni suara,” katanya.

DJ Dave yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air berkata, pengalaman bersama kanak-kanak istimewa turut membentuk keprihatinannya terhadap kebajikan penggiat seni veteran, dan beliau bertekad untuk terus menyumbang mengikut kemampuan selagi diberi kesihatan yang baik.

Menurutnya, antara impian yang masih disimpan adalah untuk menyediakan sokongan jangka panjang kepada penggiat seni veteran yang telah banyak berjasa, termasuk bantuan kebajikan seperti tempat tinggal dan sokongan kewangan, sekiranya yayasan berkenaan mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi.

“Saya menyimpan hasrat untuk mewujudkan sumber pendapatan pasif bagi memastikan kebajikan penggiat seni veteran terus terbela. Usaha ke arah itu telah dilakukan sejak lebih 14 tahun lalu, namun masih belum berjaya direalisasikan. Sekiranya bukan saya, diharapkan pengganti pada masa hadapan dapat meneruskan usaha ini,” katanya. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Pelakon The Godfather dan Apocalypse Now, Robert Duvall meninggal dunia pada usia 95 tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.