
SIBU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang menghidap penyakit jarang berlaku, penyakit crohn, menerima perhatian daripada Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Kanak-kanak tersebut, Yip, disahkan menghidap penyakit radang usus kronik itu pada April lalu selepas dimasukkan ke Hospital Sibu akibat cirit-birit berterusan sebelum dirujuk ke sebuah hospital kerajaan di Semenanjung Malaysia untuk pemeriksaan lanjut.
Kini, Yip memerlukan rawatan susulan dan suntikan berkala selain susu formula khas bagi memenuhi keperluan nutrisi hariannya.
Prihatin dengan nasib yang menimpa Yip, Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan bersama Kapitan So Teck Kee mengunjungi keluarga tersebut bagi menyampaikan bantuan serta membantu menguruskan permohonan bantuan kebajikan bagi meringankan beban mereka.
Tiang berkata, pihaknya akan memantau perkembangan rawatan Yip dan berharap kesihatannya bertambah baik dengan rawatan berterusan.
Oleh Tarani Lanting