
JULAU: Tiada unsur penderaan dalam kes kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang disahkan meninggal dunia pada 25 Oktober lalu di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Sibu akibat pendarahan dalam otak, kata Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah.
Katanya, pada 21 Oktober lalu sekitar lebih kurang 3.30 petang, kanak-kanak tersebut telah dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Sibu dalam keadaan mengalami pendarahan otak yang kritikal dan retak pada tengkorak kepala.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Julau telah menahan suspek iaitu seorang wanita berumur 21 tahun yang juga merupakan ibu mangsa.
“Mangsa telah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik dalam keadaan lemah dan dipercayai tidak mendapat penjagaan sewajarnya dan disahkan meninggal dunia 25 Oktober lalu di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Sibu.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak mendapat penjagaan sewajarnya sebelum kejadian dan hanya dihantar ke hospital selepas keadaannya semakin tenat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Kamar Pengarah Pendakwaan Negeri dan arahan telah diberikan untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sarikei pada 31 Oktober lalu.
“Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan.
“Kini tertuduh menjalani reman di Penjara Sibu sehingga sebutan semula kes pada 13 November depan,” katanya.
Tegasnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PRDM) memandang serius sebarang bentuk pengabaian terhadap kanak-kanak dan menggesa orang ramai agar sentiasa peka terhadap kebajikan kanak-kanak di sekeliling mereka.
“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang berbeza dengan kesalahan yang telah dilakukan di mana boleh menimbulkan keraguan memandangkan siasatan sentiasa dijalankan secara adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Oleh Earl Anek