
KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Fayyadh Hadif Masli, berusia empat tahun dua bulan, memerlukan sebanyak RM86,392.44 lagi bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati serta rawatan lanjut di Hospital Renji, Shanghai, China.
Menurut bapanya, Masli Bojeng, jumlah kutipan dana setakat ini telah mencecah RM98,607.56, manakala anggaran kos keseluruhan rawatan dan pembedahan di luar negara itu adalah sekitar RM185,000.
“Anak saya menghidap penyakit Biliary Atresia, iaitu kegagalan fungsi hati kronik, dan kini memerlukan pemindahan hati buat kali kedua.
“Penyakit ini mula dikesan ketika usianya dua bulan, dan beliau telah menjalani pembedahan Kasai di Hospital Umum Sarawak (HUS) ketika berusia empat bulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Masli yang berasal dari Kampung Jaie, Sadong Jaya, berkata selepas pembedahan Kasai, rawatan susulan diteruskan di HUS sebelum dirujuk ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur untuk cadangan pemindahan hati serta pemeriksaan kesesuaian penderma melibatkan beliau dan isterinya, Hanifah Salam.
“Kami berada di Hospital Tunku Azizah dari Januari hingga April 2022, diikuti temu janji lanjutan pada Mei 2022. Anak kami kemudiannya dimasukkan ke pelbagai wad pakar di HUS sebelum dijadualkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), tetapi terpaksa ditunda kerana keadaannya tidak stabil,” jelasnya.
Fayyadh menjalani pembedahan pemindahan hati pertama pada Mac 2023, dengan ibunya sebagai penderma.
Namun, beberapa komplikasi timbul selepas itu yang memerlukan empat lagi pembedahan susulan, termasuk pembetulan saluran hempedu dan saluran darah.
“Pada Disember tahun lalu, kami dimaklumkan bahawa saluran darahnya telah tersumbat teruk dan hanya pembedahan pemindahan hati kedua boleh menyelamatkannya.
“Malangnya, ia hanya boleh dilakukan di luar negara kerana tiada kepakaran seumpamanya di Malaysia,” katanya.
Masli memaklumkan beliau sendiri akan menjadi penderma hati bagi pembedahan kedua anaknya itu, dan mereka dijadualkan berangkat ke Shanghai bulan ini.
“Kami akan tinggal di Hospital Renji selama sebulan. Sebelum berangkat, anak saya telah dimasukkan ke PPUM sejak 19 Mac lalu untuk menerima rawatan TPN (Total Parenteral Nutrition).
“Sepanjang menunggu, kami menyewa di Rumah Ronald McDonald, Hospital Tuanku Azizah,” ujarnya.
Tambah beliau, anaknya kini mengalami komplikasi serius di mana hati baharu yang diterima pada pembedahan pertama telah rosak semula.
Fayyadh juga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) selama dua minggu akibat serangan virus baru-baru ini.
“Kami sangat bimbang jika pembedahan ini tidak dapat dilakukan segera.
“Doktor di Malaysia dan China bersetuju bahawa ini satu-satunya peluang Fayyadh untuk pulih.
“Kami sangat memohon sumbangan orang ramai kerana kami sudah hampir berputus asa,” katanya sebak.
Masli turut menghargai bantuan Pertubuhan Biliary Atresia SeMalaysia (BAMA) yang banyak membantu mengurus proses rawatan dan dana.
“Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun BAMA (Bank Rakyat: 1102310504, rujukan: Adik Fayyadh),” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi BAMA di talian 013-222 8576, atau menghubungi Masli Bojeng (019-834 9065) dan Hanifah Salam (013-560 3411).
Oleh Adi Safarman