
MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan Rumah Panjang Jelaping, Bakong, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Marudi DSP Nor Aizan Jamil, berkata dalam kejadian sekitar 5.00 petang itu, mangsa dikenali sebagai Gevariel Noel Jelani, disahkan meninggal dunia pada 5.56 petang ketika menerima rawatan di Hospital Marudi.
“Siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 68 tahun memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Miri menuju pulang ke rumahnya.
“Apabila tiba di lokasi, kenderaan tersebut melanggar mangsa yang ketika itu sedang bermain kereta mainan di kawasan parkir hadapan rumah panjang berkenaan.
“Pemandu tidak menyedari kehadiran mangsa yang berada di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah manakala pemandu tidak cedera.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.