Cyle Larin meledak gol penyamaan buat Kanada ketika menentang Bosnia-Herzegovina, sekali gus menghadiahkan mata pertama negara itu dalam sejarah Piala Dunia. — Foto AFP.
TORONTO, Kanada: Tuan rumah bersama, Kanada, bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua untuk mengikat Bosnia-Herzegovina 1-1 pada awal pagi ini (waktu Malaysia) dalam perlawanan pusingan akhir Piala Dunia pertama yang pernah berlangsung di bumi Kanada.
Cyle Larin menjaringkan gol Kanada selepas Jovo Lukic meletakkan Bosnia di hadapan menerusi tandukan pada minit ke-21 di Toronto.
Keputusan itu menghadiahkan Kanada mata pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.
Sebelum ini, Kanada mencatat rekod tanpa sebarang mata dalam dua penampilan terdahulu di kejohanan tersebut pada 1986 dan 2022, apabila tewas dalam kesemua enam perlawanan.
Gol Lukic hasil sepakan penjuru mencetuskan sorakan gemuruh penyokong Bosnia yang hadir dalam jumlah kecil tetapi penuh bersemangat di Stadium Toronto.
Kanada menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa pertama, namun gagal mencipta peluang yang benar-benar berbahaya.
Stadium bergema pada minit ke-17 apabila penyerang Jonathan David memperoleh peluang terbuka untuk menjaringkan gol, tetapi percubaannya mudah diselamatkan penjaga gol Bosnia, Nikola Vasilj.
Ismael Kone pula memiliki peluang keemasan pada minit ke-30, namun rembatannya melambung tinggi melepasi palang, mengundang kekecewaan puluhan ribu penyokong Kanada yang membanjiri stadium dengan lautan warna merah.
Babak kedua berlangsung dalam corak yang hampir sama apabila Kanada terus mengasak tetapi gagal menemui sentuhan penyudah.
Pertahanan veteran Bosnia, Sead Kolasinac, menyelamatkan pasukannya daripada dibolosi apabila menampan percubaan Jonathan David ke palang gol, sekali gus memanjangkan penderitaan tuan rumah.
Namun, jaringan Larin pada minit ke-78 menjadi detik bersejarah dalam perjalanan singkat Kanada di Piala Dunia, menyebabkan majoriti daripada 43,000 penyokong tuan rumah melonjak kegembiraan.
Kanada hampir meraih kemenangan pada minit-minit akhir, namun gagal memanfaatkan peluang yang hadir menjelang wisel penamat.
Turut hadir menyaksikan perlawanan di gelanggang kelab MLS, Toronto FC, ialah beberapa selebriti terkenal Kanada termasuk bintang filem Ryan Reynolds dari Vancouver serta pelakon dan pelawak Mike Myers yang berasal dari Toronto. – AFP