
KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas kanabis dan pelbagai barangan bernilai RM1.72 juta di Padang Besar dan Kuala Perlis, dipercayai diikrar secara tidak betul dan tidak mempunyai permit import.
Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata dadah seberat 13.207 kilogram (kg) bernilai RM1.32 juta itu ditemukan hasil pemeriksaan terhadap satu beg pakaian di laluan Mesin Pengimbas Unit Dagangan Keretapi, Padang Besar pada 9 Mac.
“Beg itu berisi sehelai selimut dan satu bungkusan plastik berwarna hitam. Pemeriksaan terhadap bungkusan plastik itu menemukan 23 paket plastik lut sinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki kanabis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ismail berkata, pihaknya turut merampas 13,176kg coolant atau bendalir pendingin bernilai RM111,428.86 berserta 29,660 penyapu dianggar bernilai RM71,470 yang dipercayai diikrar secara tidak betul di Padang Besar pada 26 Februari dan 7 Mac lalu.
Beliau berkata anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar serta pegawai Unit Dagangan Jalan Raya yang memeriksa sebuah lori Hino dipandu lelaki tempatan menemukan dagangan Yamaha Long Life Coolant dan Honda Pre-mix Coolant, namun diikrar sebagai Oil Lubricant Honda dan Oil Lubricant Yamaha dalam Borang Kastam No. 1 (K1).
“Dagangan itu didapati diikrarkan secara tidak selaras dengan kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967. Dagangan Yamaha Long Life Coolant dan Honda Pre-mix Coolant juga tertakluk kepada cukai jualan sebanyak 10 peratus,” katanya menambah pemandu lori dan seorang lelaki, iaitu ejen penghantaran warga tempatan ditahan untuk membantu siasatan.
Ismail berkata mengenai rampasan penyapu, ia hasil pemeriksaan terhadap dua lori dan mendapati jumlah kuantiti dagangan itu melebihi jumlah diikrar di dalam Borang Kastam No. 1 (K1), sekali gus melibatkan pengikraran tidak betul selaras Seksyen 79 Akta Kastam 1967 (Akta 235).
“Pada 6 Mac pula, pihak kastam merampas 4,597 tayar motosikal bernilai RM223,265 dipercayai tidak mempunyai sebarang permit import, hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Kuala Perlis.
“Pemandu lori dan mekanik sebuah syarikat ditahan manakala siasatan awal pada Borang Kastam No. 1 (K1) yang diserahkan ke atas pemandu lori mendapati pengimport dagangan terbabit beralamat di Kuala Lumpur,” katanya. – Bernama