Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Kamus digital Webonary bantu pelihara bahasa Kadazan
  • PENDIDIKAN

Kamus digital Webonary bantu pelihara bahasa Kadazan

Utusan Sarawak 6 hours ago
KAMUS digital Webonary bantu pelihara bahasa Kadazan. Gambar hiasan.

KOTA KINABALU: Ketika arus kemodenan dan dominasi bahasa global semakin mempengaruhi cara masyarakat berkomunikasi, usaha memelihara bahasa etnik terus dipergiatkan bagi memastikan akar budaya serta identiti masyarakat tempatan tidak terhakis. 

Bagi komuniti Kadazan, usaha itu kini diperkukuh menerusi pembangunan webonary Kadazan-Inggeris-Melayu, sebuah kamus digital yang menghimpunkan khazanah kosa kata bahasa ibunda berkenaan dalam platform yang mudah diakses. 

Inisiatif yang diterajui Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) dengan kerjasama pelbagai organisasi, persatuan serta institusi pendidikan tempatan itu membuka dimensi baharu dalam usaha memulihara dan membangunkan bahasa etnik berkenaan melalui pendekatan teknologi digital.

Pengerusi KLF, Datuk Philip Lasimbang berkata, pemeliharaan bahasa ibunda bukan sekadar tanggungjawab institusi, sebaliknya menuntut komitmen kolektif seluruh masyarakat kerana trend kemerosotan penggunaan bahasa etnik semakin membimbangkan.

“Tahap penguasaan bahasa Kadazan kini semakin merosot dan ini menuntut tanggungjawab semua pihak untuk mempertahankannya kerana apabila hilangnya bahasa, maka hilanglah bangsa,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Webonary yang dibangunkan sebagai projek sosiobudaya bagi memperluas akses kepada kosa kata Kadazan itu menghimpunkan lebih 30,000 entri bahasa Kadazan serta hampir 29,000 entri bahasa Melayu, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pembangunan leksikografi bahasa orang asal dalam bentuk digital.

Platform berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick sempena Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa pada Februari lepas.

Philip berkata, pembangunan kamus digital itu antara usaha KLF untuk menyediakan bahan rujukan kepada institusi pengajian tinggi selain mempergiat kerja penterjemahan buku memandangkan sumber rujukan dalam bahasa Kadazan masih terhad.

Beliau berkata, sepanjang 31 tahun penubuhannya KLF kekal konsisten memacu pembangunan bahasa etnik tempatan di Sabah, termasuk membantu menghasilkan Kamus Timugon (bahasa Murut) yang mengambil masa 13 tahun untuk disiapkan.

Dalam kalangan generasi muda Kadazan yang ditemui Bernama, kewujudan webonary Kadazan-Inggeris-Melayu itu disifatkan sebagai solusi tepat bagi menangani kekurangan bahan rujukan, sekali gus membantu memelihara keunikan dialek dan kosa kata bahasa ibunda mereka.

Penjawat awam Maklinus Antang, 43, dari Kota Kinabalu berkata kamus digital itu menjadi pendekatan pragmatik untuk memartabatkan bahasa etnik Sabah agar khazanah linguistiknya tidak terpinggir dalam arus perdana.

Beliau berkata platform itu turut membantu golongan muda yang kurang mahir bertutur dalam bahasa ibunda kerana menyediakan rujukan lebih sistematik merangkumi kosa kata, tatabahasa serta sebutan bahasa Kadazan yang tepat.

“Selain belajar daripada ibu bapa, generasi muda kini boleh mempelajari bahasa Kadazan melalui webonary. Ini dapat memastikan bahasa itu terus relevan dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya. 

Maklinus juga berpandangan platform itu membuka ruang kepada masyarakat daripada suku kaum lain untuk mengenali keunikan bahasa Kadazan selain menjadi rujukan komprehensif kepada penulis etnik dalam mendapatkan kosa kata yang lebih tepat ketika menghasilkan karya.

Suri rumah, Connie Fred Mojuli, 42, dari Penampang pula berpendapat penyediaan kamus pelbagai bahasa itu amat bermanfaat dalam membantu generasi muda mempelajari bahasa etnik Sabah secara lebih sistematik.

Beliau yang dibesarkan dalam keluarga campuran Kadazan dan Dusun berkata pengalaman itu menyedarkannya tentang kepentingan menerapkan penggunaan bahasa etnik secara konsisten di rumah agar ia kekal sebagai identiti keluarga.

Ibu kepada tiga anak itu turut berharap penggunaan webonary Kadazan-Inggeris-Melayu dapat diperluas ke peringkat sekolah di Sabah bagi membantu pelajar memperkukuh penguasaan kosa kata etnik, sekali gus mengimbangi pengaruh bahasa komunikasi harian yang lain. 

Sementara itu, Ewon ketika melancarkan platform berkenaan berkata webonary bukan sekadar repositori kosa kata tetapi turut berperanan sebagai arkib hidup dan ruang pembelajaran terbuka bagi memastikan kesinambungan budaya dalam era digital.

“Ia menyumbang kepada usaha memulihara warisan budaya orang asal Sabah yang juga antara khazanah sosiobudaya penting di peringkat nasional dan dunia. Apabila kita memperkukuh bahasa, kita sebenarnya memperkukuh masyarakat dan jati diri sebagai orang asal di negara ini.

“Dengan memperkukuh sumber bahasa orang asal, kita menyokong pendidikan inklusif, kelestarian budaya dan kesaksamaan digital selaras dengan aspirasi pendidikan untuk pembangunan lestari dan Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya. – Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Empat pelajar Malaysia lakar kejayaan di Anugerah Inovasi Bangkok

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.