
MATU: Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan pertunjukan pentas yang akan berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Tian, di sini, pada malam Sabtu ini.
Program yang bermula pada 7.30 malam itu dianjurkan oleh Pengerusi Amanah Saham Sarawak (ASSAR), Dato Sri Wahab Dolah.
Menurut wakil penganjur, Mohd Suffian Fauzi, acara berkenaan akan diserikan dengan Pertandingan Bertandak/Bermukun tertutup yang melibatkan peserta dari Matu, Daro dan Pulau Bruit.
Katanya, pertandingan tersebut akan dijalankan secara berpasangan, melibatkan pasangan lelaki dan perempuan dengan tema pakaian hari raya.
“Kita menjangkakan seramai 40 pasangan akan menyertai pertandingan bertandak/bermukun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Selain itu, program berkenaan turut diserikan dengan persembahan khas Kumpulan Seni Melodi serta Group Tarian Legasi Terindah dari Semenanjung Malaysia.
Kemunculan artis terkenal seperti Alip Kadim dan Baby Shima dijangka menambah kemeriahan acara tersebut.
Oleh Akun Giman