KANO: Ibarat ‘bermandikan darah’ begitulah insiden pembunuhan yang berlaku di Kampung Tara di barat laut Nigeria, berhampiran sempadan Niger, semalam.
Dalam kejadian pembunuhan itu, seramai 16 penduduk terbunuh manakala sembilan lagi cedera ditembak sekumpulan lelaki bersenjata.
Pegawai kerajaan, Saidu Naino Ibrahim, berkata selain membunuh, kumpulan lelaki terbabit turut mencuri lebih 100 lembu penduduk kampung.
Katanya, penyerang dipercayai dari Dogon Zango dan menjadikan hutan berhampiran di luar wilayah Rugu sebagai markas mereka.
“Kumpulan pencuri ini melakukan jenayah di sekitar perkampungan berhampiran, bergerak dari kampung ke kampung untuk membunuh dan merampas harta penduduk,” katanya.
Serangan itu berlaku sebelum subuh dan ia adalah satu daripada siri serangan dilakukan kumpulan pencuri sejak bertahun lalu yang sering bertindak ganas termasuk membunuh, merompak dan menculik.
Seorang penduduk, Lawwali Umeh berkata, penyerang datang dengan motosikal dan melepaskan senjata kepada penduduk kampung.
“Kami mengebumikan 16 mayat manakala sembilan lagi cedera parah,” katanya.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memberi amaran mengenai keganasan di barat laut Nigeria dan ia dijangka mengakibatkan penghijrahan penduduk ke Niger.
UNCHR mendedahkan, sejak Januari lalu, seramai 7,660 pelarian kebanyakannya wanita dan kanak-kanak lari dari Nigeria ke Maradi.
Di Malabo, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh, manakala 600 lagi cedera selepas satu siri letupan kuat melanda kem tentera di Equatorial Guinea, kata Presiden Teodoro Obiang Nguema sambil mendakwa ia disebabkan kecuaian tentera.
Saluran TVGE menyiarkan rakaman bangunan hancur dan terbakar selepas empat letupan itu merosakkan kem Nkoa Ntoma di ibu negara ekonomi Bata dan kawasan sekitarnya.
Mangsa termasuk kanak-kanak dilihat ditarik keluar dari runtuhan sementara mereka tercedera terbaring di lantai hospital.
Letupan disebabkan kecuaian unit yang bertugas menyimpan bahan letupan, dinamit dan peluru,” kata Obiang Nguema dalam satu kenyataan di televisyen tempatan.
Sementara itu, anak lelakinya, Teodoro Nguema Obiang Mangue, Naib Presiden yang bertanggungjawab untuk pertahanan dan keselamatan, muncul dalam rakaman televisyen sedang memeriksa kerosakan di lokasi letupan, ditemani pengawal warga Israel.
Teodorin, seperti diketahui, dilihat sebagai pengganti presiden yang dilantik.
Kem yang mana letupan pertama melanda pada sebelah petang, menempatkan aset pasukan khas tentera, menurut seorang wartawan TVGE.
Sepanyol, bekas penjajah di Equatorial Guinea, mendesak melalui kedutaan Malabo untuk rakyatnya tinggal di rumah berikutan letupan itu.
Bata adalah bandar terbesar di Afrika tengah yang kaya dengan minyak dan gas, di mana sekitar 800,000 daripada 1.4 juta penduduk negara itu tinggal di sana, kebanyakan mereka berada dalam kemiskinan.
Equatorial Guinea dipimpin Obiang Nguema berusia 78 tahun selama hampir 42 tahun.
Pemimpin pembangkang dan organisasi antarabangsa kerap menuduh Obiang Nguema melakukan pelanggaran hak asasi manusia. – AFP