MUKAH: Dua kampung di sini bakal menjadi pengguna biogas berasaskan kanji rumbia pertama di dunia.
Apabila jadi kenyataan kelak, biogas tersebut akan disalurkan untuk kegunaan isi rumah di sekitar Kampung Tabo dan Kampung Teh yang berlokasi di seberang bandar Mukah.
Dengan perkembangan ini akan meletakkan Mukah dan Negeri Sarawak sebagai pengeluar gas seumpanya yang pertama di dunia.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, projek itu telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada Mac 2020.
“Ia sedang diusahakan oleh Craun Research dan seterusnya akan menjadi sumber kepada gas alternatif yang kosnya jauh lebih murah berbanding penggunaan gas silinder ketika ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa taklimat Projek Rakyat: Bionatural Gas Distribution For Rural Household bersama Ketua Pegawai Eksekutif Craun Research, Zaidell Hussaini yang diadakan di Kuching baru-baru ini.
Projek yang dibangunkan di Kampung Teh dan Kampung Tabo Mukah itu pada asalnya adalah untuk mencari penyelesaian secara bersepadu ke atas masalah pencemaran alam sekitar daripada aktiviti pemprosesan kanji rumbia sebelum beralih kepada penghasilan biogas berasaskan kanji rumbia pada 2018 hasil kajian Craun Research sejak 2003.
Majlis pelancaran Loji Rintis Rawatan Sisa Cecair Sagu berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 23 November 2019 di Kampung Tabo, Mukah.
Adalah difahamkan untuk permulaan, biogas yang dihasilkan akan disalurkan untuk kegunaan isi rumah di sekitar Kampung Teh dan Kampung Tabo bagi menggantikan penggunaan gas konvensional.
Oleh kerana ia adalah sesuatu yang baharu, kaedah ini akan dikaji dengan sebaiknya bagi memastikan ia selamat untuk digunakan.
Oleh Henry B Siyu