Oleh: Stephanie Juanita Ahlee
“AYAH ni mengarut!”
Semua mata tertumpu ke arah perbalahan itu.
“Bertahun sudah ayah tak balik ke situ. Kalau kamu semua tak nak ikut aku balik, tak mengapa. Ayah boleh balik seorang diri,” jerkah ayah.
“Ayah ni memang degil orangnya. Sudahlah ayah sendiri hampir pitam sewaktu majlis pertunangan adik, inikan pula memandu kereta berjam-jam di atas jalan. Tak tahulah nak kata apa lagi dengan ayah!”
Ayah memandang ke arah lain. Tatapan matanya membara. Keras kepalanya umpama batu, sukar dipecahkan dan dibawa bincang. Jika itu kata hatinya, maka itulah juga bicara mulutnya.
Umang dan Bennet mendiamkan diri. Hanya mendengar sahaja pertengkaran antara ayah dan Andi. Andi merupakan anak sulung dalam keluarga itu. Hanya dia sahaja berani menentang ayah. Sejak ayah kehilangan suri hatinya, ibu kepada Andi, Bennet dan Umang dua tahun lalu, ayah seperti kehilangan warasnya. Walaupun kehidupan mereka agak senang, namun itu bukan tiket kebahagiaan. Mempunyai perniagaan sendiri sejak usia muda, menjadikan keluarga itu mampu dalam segala-galanya. Perniagaan Penternakan Hidupan Air Tawar itu kini telah diambil alih Andi. Kata ayah, perniagaan itu hasil daripada harta pusaka keluarga.
“Kamu pujuklah ayah baik-baik. Ayah kan..dia ada…”
Belum sempat Umang menghabiskan kata-kata yang dibisikkan ke telinga Andi, Andi segera keluar dari rumah. Rasa kecewa sedang bertempik di dalam hatinya. Baginya, ayah seharusnya mengalah. Pada usia itu, jika bukan anak-anak, siapa lagi yang sanggup menjaga ayah yang sudah tua, ditambah lagi ada penyakit Dementia tahap ringan. Walaupun begitu, ia tetap memerlukan seseorang untuk menjaganya kerana penyakit ini tiada ubatnya dan pengawasan rapi.
Umang pandang ayah. Sayu hatinya. Lebih-lebih sedar dirinya akan meninggalkan rumah itu pada satu masa; majlis pertunangan yang diadakan Ahad lepas, adalah simbol dia akan menjadi seorang isteri dan dengan pastinya, dia bakal melangkah keluar dari rumah itu untuk kehidupan baru. Bagaimana dengan makan pakai ayah? Walaupun di dalam rumah itu masih ada dua abangnya, namun ia tidak akan sama lagi selepas Umang berumah tangga. Selama ini, dialah yang mengingatkan ayah tentang waktu makan ubat, membawa ayah ke janji temu pemeriksaan kesihatan dan banyak lagi. Hakikatnya, dia sebagai anak perempuan, menggantikan tugas-tugas arwah ibu di rumah. Sejak ibu meninggal dunia akibat sakit buah pinggang, Umang berhenti bekerja sebagai jururawat dan bekerja dari rumah sebagai salah seorang kerani perniagaan keluarga mereka.
“Bennet. Bagaimana? Aku risau ayah semakin menjadi-jadi.”
“Kita tunggu apa kata Andi. Dia lebih tahu.”
“Kita tak boleh biarkan ayah macam ni,”ujar Umang.
“Kita tetap juga kena tunggu apa keputusan Andi. Kau sembunyikanlah kunci kereta ayah. Risau dia ambil dan pergi memandu kereta. Aku turun kerja dahulu,” kata Bennet.
Umang mengangguk. Setelah menutup pintu, Umang bergerak ke dapur.
“Bennet! Andi! Ayah hilang!”
“Hah? Bagaimana ayah boleh hilang?”
“Dia bawa pergi kereta saga Umang. Silap Umang terlupa menyimpan semua kunci kereta. Aduh, bagaimana? Haruskah kita laporkan kepada pihak polis? Aku risau. Ayah kan ada Dementia? Bagaimana kalau…kalau ayah kemalangan?”
“Tenang, Umang. Nanti aku dan Bennet pergi cari di sekitar Bandaraya Miri. Sudah lamakah ayah menghilang?”
“Aku tak tahu. Aku cuma sedar ayah hilang apabila tiba waktu dia makan ubat.”
“Kau tunggu sahaja di rumah kalau-kalau ayah pulang. Aku dan Bennet akan pergi mencarinya,” kata Andi di hujung talian.
****
“Kampung Sungai Tengah. Kampung Sungai Tengah.”
Mulutnya sejak tadi menyebut nama kampung itu, asal usul dirinya sebelum berhijrah ke kota. Sejak kebelakangan ini, entah mengapa nama kampung itu sering terpapar dalam ingatannya. Kenangan masa kecil dan remajanya berlegar-legar di benak fikiran. Dia seperti dirasuk dewa angau; rindu akan kenangan lalu. Setiap kali dia bersendirian duduk di atas bangku, memandang kosong ke arah laman dengan pokok-pokok bunga kertas yang telah merimbun dedaunannya, ada memori Kampung Sungai Tengah menerpa masuk mengajaknya untuk berbual dalam kenangan.
Kaki yang memijak lantai ruai sepanjang hidup sejak lahir sehingga dia ke kota, masih lagi terasa di tapaknya. Bau tiang kayu tebelian terasa masih segar di atmosfera. Dia tidak lupa asal usulnya itu. Rindu akan rumah panjang yang ditinggalnya puluhan tahun lalu. Dia terlupa, entah mengapa pada usia ini, barulah dia sedar sekalipun dia tidak pernah pulang sejak meninggalkan Kampung Sungai Tengah. Benar kata orang, sejauh mana burung terbang, ia pasti pulang ke sarang. Maafkan aku. Aku si Tanggang yang lupa diri sejak menjadi orang bandar, fikirnya.
Kali ini, dia nekad. Bukan dia tidak dapat pergi keseorangan. Ketika dia masih bujang, apa-apa sahaja boleh dilakukannya sebagai anak kampung. Pernah dia tersesat di hutan belantara tetapi berjaya menemui jalan keluar selepas tiga hari. Walaupun dia terpaksa berlapar dan hanya makan tumbuhan liar seperti pakis sebagai alas perut serta air yang diperoleh daripada sungai kecil terasa likat berlumpur, namun semangat juangnya berjaya mengatasi segala cabaran di dalam hutan. Hutan belantara yang penuh misteri dan haiwan berbisa seperti ular itu, dapat dikalahkan oleh kekuatan minda dan semangatnya. Dia tetap gagah mencari jalan keluar dan mendapat jolokan, Bujang Sungai Tengah pada masa itu. Namanya sering menjadi sebutan.
Di atas jalan, begitu banyak kereta. Mungkin mereka juga sepertinya, ingin pulang ke kampung masing-masing. Hari itu hari Jumaat, jadi sesuailah untuk pulang di hujung minggu. Tiba-tiba, kedengaran bunyi hon yang membingitkan. Dia cuba menekup telinga. Nasib baiklah tangan tua itu sempat memusingkan stereng. Hampir sahaja dia terbabas ke tepi. Dia meneruskan perjalanan sambil menyumpah dengan kata-kata yang hanya mampu didengarinya ketika ini.
Matanya memandang ke kanan dan kiri. Jalan yang suatu masa tadi dipenuhi kereta, kini lengang. Mungkin kereta-kereta itu telah berpecah laluan, memasuki simpang yang ingin mereka tuju sementara dia masih meneruskan perjalanan di atas jalan utama. Tidak lama kemudian, sebuah ambulans melintas dan diikuti jentera bomba. Dia meneka yang kemungkinan ada kemalangan mahupun kebakaran di sekitar itu. Tidak menghiraukan kenderaan kecemasan yang melintasinya, orang tua itu memandu menuju ke destinasi yang sangat dirinduinya itu.
Matanya mengamati papan tanda yang sudah dilingkari oleh rantaian tumbuhan hijau yang menjalar. Tulisan yang ada pada papan tanda itu juga telah kabur. Dia kecilkan matanya yang sememangnya rabun. Mengenali papan notis yang diukir terletak di sebelah papan tanda itu, dengan yakinnya dia memasuki simpang itu. Senja telah pun berlabuh.
Tidak lama kemudian, dia ternampak seorang wanita yang agak berusia sedang berjalan kaki seorang diri sambil bertongkat dan membawa raga di belakangnya. Dia memperlahankan kereta dan berhenti di sebelahnya.
“Pergi mana, mak cik? Naiklah kereta aku. Nanti aku hantar. Lagipun, aku juga melalui jalan ini,”
Wanita tua itu tersenyum. “Eh, tidak apalah. Tidak jauh, sedikit lagi aku sampai,” sahutnya.
“Tak apa, marilah. Nanti aku hantar,” katanya lagi.
Wanita tua itu masih menolak. Berputus asa, akhirnya dia meninggalkan wanita tua itu. Lebih kurang seratus meter, dia memandang ke arah cermin sisi tetapi wanita tua itu telah tiada. Dia tidak nampak sebarang jalan masuk ke simpang mahupun rumah panjang yang berdekatan. Mungkin wanita tua itu menggunakan jalan tikus itu sampai. Entahlah, berpuluh tahun dia tidak pulang. Kemungkinan itu sangat tinggi.
Sunyi. Badan kereta itu bergegar disebabkan jalan yang berliku dan tidak rata itu. Barisan pokok besar berdiri di tepi jalan seolah-olah menyambut kedatangannya. Dia pandang ke kiri dan kanan, ternyata hanya dia sahaja yang sedang melalui jalan itu. Mungkin orang kampung sedang menyiapkan makan malam, sebab itu sunyi sahaja jalan itu. Ada juga burung yang bertenggek di atas dahan, cengkerik mulai sahut-menyahut; membualkan malam hampir mengambil alih siang.
Ada cahaya terang dari belakang kereta. Dia memperlahankan kereta itu. Dia menurunkan tingkap apabila ada sebuah motosikal berada di sebelah kanan, tempat duduknya.
“Mahu ke mana ni?” soal si penunggang motosikal. Ada raga rotan di dalam bakul motosikal itu. Ada pembonceng wanita duduk di belakangnya. Dia tidak mengenali langsung kedua-duanya.
“Aku mahu ke Kampung Sungai Tengah,” sahutnya.
“Oh, kau datang dari mana?” tanya penunggang motosikal itu lagi.
“Dari bandar Miri. Kau berdua?”
“Kami berdua baru sahaja balik dari menjual sayur-sayuran di tamu petang,” balas lelaki itu.
Dia mengangguk. Ada cecair merah mengalir di kepala lelaki itu. “Kepala kau berdarah,” katanya kepada penunggang motosikal.
Segera lelaki itu mengelap dengan tuala lusuh. “Tadi aku tersadung pada batu ketika menurunkan raga rotan ini.”
“Kau orang kampung sinikah? Aku lama dah tak balik sini. Puluhan tahun,” katanya.
“Oh.. Siapa nama kau?”
“Reging. Reging Amat.” Lelaki itu berpaling ke arah pembonceng wanita itu. Pembonceng wanita itu menggeleng. “Kalau begitu, kami balik dulu.”
Tidak sempat menghabiskan kata-kata, penunggang dan pembonceng itu telah pergi meninggalkan Reging. Sedikit rasa jengkel muncul di hatinya. Seolah-olah tidak beradab tidak mengendahkan perbualan yang masih berbaki persoalan daripadanya.
Malam semakin gelap. Pemanduannya sedikit terganggu kerana dia rabun malam. Di dalam hatinya, dia berdoa agar selamat sampai walaupun agak lewat. Tidaklah jauh lagi untuk sampai ke rumah panjang.Mata itu menangkap cahaya terang berderang yang terletak lima ratus meter dari dia memandu. Dia hampir tiba. Kedengaran bunyi gong sedang dimainkan. Wah, apakah yang sedang disambut ketika ini? Katanya dalam hati. Berpesta hatinya ketika ini. Bersorak-sorai degupan jantungnya. Sekian lama dia tidak mendengar alunan muzik taboh kampung kesayangannya itu. Kelajuan kereta meningkat dengan harapan dia cepat tiba.
Kereta diparkir betul-betul di hadapan rumah panjang. Anehnya, hanya ada satu-satunya kereta dia sahaja di kawasan itu. Fikirnya, barangkali tidak ada yang balik ke kampung itu memandangkan ia bukan hari cuti panjang, hanya hujung minggu. Dia menaiki tangga untuk memasuki rumah panjang.
Ternyata dialah yang ditunggu-tunggu oleh seisi kampung. Mereka memukul gong dan mengenakan Baju Burung Lelakikepadanya. Ketapu atau topi burung diletakkan di atas kepalanya. Perasaan megah melanda dirinya. Dia seolah-olah disambut bagaikan seorang pahlawan Iban yang kembali ke kampung selepas berperang dan berjaya menewaskan musuh. Senyuman jantan dipamerkan, Reging sangat bangga dengan kehadirannya.
Dia dibawa duduk di atas ruai yang telah dilapik dengan tikar. Dihulurkan minuman kebanggaan,tuak. Hampir tidak dapat dijawab setiap pertanyaan yang dituju ke arahnya. Meriah sungguh majlis itu. Di antara orang yang hadir, ada beberapa orang dikenalinya; wanita tua yang menolak tawaran olehnya untuk menumpang bersamanya senja tadi dan penunggang lelaki yang cedera di kepala bersama pembonceng wanita. Mereka tersenyum padanya. Dalam tekaannya, mungkin merekalah yang memberitahu kedatangannya kepada penduduk Kampung Sungai Tengah. Namun, tidak kelihatan saudara terdekatnya.
“Reging. Sudah lama kita tidak ketemu. Tidak sangka, pada akhir hidup kau, kita bertemu. Kau masih ingat akukah?”
Agak lama dia memerhati lelaki sebayanya itu. Kumis di bibir juga telah berubah warna, putih beruban. Sedikit botak di atas kepala.
“Tak ingat? Akulah, Linggi. Kawan kau sejak kecil.”
Masih mengerut dahi Reging.
“Eh, kau ni. Kitalah sama-sama panjat pokok mangga Apai Kisun. Ingat tak? Sampai digigit kerengga gara-gara tamak.”
Reging mendiamkan diri, masih sukar mengingat kembali kisah dahulu. Dia ingat akan kejadian itu, tetapi sepertinya Linggi tidak wujud.
“Eh, kau tak masuk ke bilik orang tua kau? Rasanya mereka dan saudara kau yang lain menanti kau di sana,” kata Linggi.
Mendengarnya, Reging tergesa-gesa bangun. Ingin rasanya kaki ini berlari, itulah yang dirindui selama ini. Dia menolak perlahan-lahan pintu bilik bernombor enam belas itu. Semua mereka yang berada di situ, menoleh padanya. Ada ibu, ayah, abang dan kakaknya serta beberapa orang yang tidak dikenali. Seperti magnet, dia terasa ditarik dan dipeluk oleh mereka. Dirinya terasa kerdil dan masih kanak-kanak dipeluk oleh kedua-dua orang tuanya. Tanpa sedar, air matanya mengalir.
“Kau sudah pulang. Duduklah. Kami tidak marah pada kau lagi,” kata ayah. Reging mengerut dahi.
“Marah? Apa yang telah aku perbuatkan? Aku tak ingat apa-apa,” kata Reging. “Kau lupa yang kau telah menjual kampung kita ini. Kau lupa yang selepas kau menjual kampung ini, kami sehabisnya memperjuangkan kampung ini sehingga pihak yang memiliki tempat ini membakar rumah panjang ini sehingga kami turut terbakar bersamanya.”
Sedetik, seperti ada dentuman guntur di atas langit tidak terbatas, dia kembali ingat.
“Kau minta tandatangan ketua kampung. Bukankah ketua kampung kalian buta huruf?” hasut lelaki berpakaian kemas itu.
“Jangan risau, ada bahagian kau. Malah kau boleh hidup mewah sehingga tua. Kau tak nak hidup senang? Selepas ni, kau larilah. Bersembunyi di bandar. Takkan kau nak seumur hidup kerja mencari hidupan liar di hutan? Tinggal di rumah kayu?” Lelaki itu tersenyum, dengan wajah sinis persis jin kegelapan yang menyamar.
Mudah dipujuk dengan bayangan kekayaan, begitu sekali dia berubah umpama kuning oleh kunyit, hitam oleh arang. Dia menipu Tuai Rumah dengan mengatakan rumah panjang itu bakal dibaik pulih. Hanya tandatangan itu sahaja diperlukan. Lusanya dia melarikan diri. Kejamnya hatimu Reging ketika itu. Itu kata-kata terakhir ayah.
“Maafkan aku! Maafkan aku! Bagaimana untuk aku pulihkan segala-galanya?” ujar Reging berkali-kali.
Ayah memegang bahu Reging. “Tidak ada apa-apa lagi yang dapat kau lakukan. Kau sudah kembali ke kampung ini, sudah cukup,” balas ayahnya.
“Tidak! Aku harus lakukan sesuatu!”
Ayahnya menggeleng. “Kau sudah mati, Reging. Sebab itu kau kembali ke sini. Perasaan rindu yang kau ada sejak kebelakangan ini petanda rasa bersalah kau dalam hidup,” jelas ayah.
“Aku dah mati?” soal Reging.
“Ya, semua penduduk yang berada di dalam rumah panjang ini telah mati.”
***
“Umang, bersiaplah untuk ke hospital. Ayah… kemalangan. Dia maut dalam kemalangan semasa menuju ke Kampung Sungai Tengah,” kata Andi dengan nada sebak.
Umang terduduk. Dia berasa bersalah kerana cuai menjaga ayah. Silapnya kerana tidak menyembunyikan kunci kereta. Dia teringat pertama kali ayah menyampaikan hasrat ingin kembali ke kampung asalnya. Dua minggu berturut-turut ayah mengenang rumah panjang Kampung Sungai Tengah. Ayah termenung melihat laman yang dihiasi pokok bunga kertas merah jambu.
“Ayah tahu tak yang Kampung Sungai Tengah tu dah lama tak ada?”