Kampung Rebak berpotensi muncul hab pengeluaran jagung Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ASAJAYA: Kampung Rebak berpotensi muncul sebagai antara hab pengeluaran jagung utama di Sarawak sekiranya industri tanaman itu terus diperkasakan menerusi sokongan berterusan kerajaan serta penglibatan aktif masyarakat setempat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan penanaman jagung di kawasan itu amat memberangsangkan dan mampu menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Abdul Karim berkata, permintaan yang semakin meningkat terhadap jagung tempatan membuktikan tanaman tersebut mempunyai nilai komersial tinggi serta berupaya memberikan pulangan lumayan kepada petani.

“Kalau industri ini tidak menguntungkan, sudah tentu petani tidak akan terus mengusahakannya dari tahun ke tahun. Apa yang kita lihat hari ini ialah semakin ramai penduduk menceburi penanaman jagung, sekali gus membuktikan potensinya untuk meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya ketika merasmikan Pesta Jagung Kampung Rebak 2026 di Dewan Kampung Rebak, di sini, hari ini.

“Tempoh penanaman jagung yang hanya mengambil masa antara dua hingga tiga bulan membolehkan petani melaksanakan beberapa pusingan tanaman dalam tempoh setahun, sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agensi berkaitan, khususnya Jabatan Pertanian, supaya terus memperkukuh sokongan kepada petani melalui penyediaan infrastruktur pertanian, khidmat teknikal serta pembangunan tanah yang lebih sistematik.

Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, kawasan Asajaya dan Samarahan mempunyai keluasan tanah yang sesuai untuk dimajukan sebagai kawasan pertanian berimpak tinggi, selain berpotensi menjadi kawasan pembekal makanan kepada Greater Kuching.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk supaya menghargai tanah yang dimiliki dan tidak tergesa-gesa menjualnya kerana kawasan berkenaan dijangka menerima limpahan pembangunan pada masa akan datang.

Katanya, pelaksanaan beberapa projek strategik termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Tanjung Embang serta pembangunan Greater Kuching dijangka meningkatkan nilai ekonomi kawasan sekitar, termasuk Asajaya dan Samarahan.

“Rakyat perlu mempunyai pandangan jauh dan memanfaatkan tanah yang ada untuk menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup keluarga,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Abang Ismawi Abang Ali, wakil Residen Bahagian Samarahan Nur’ain Adam, Penolong Pegawai Daerah Asajaya Hasanah Bujang, Timbalan Pengerusi MPKS Daily Joseph, Setiausaha MPKS Zuraida Idris serta Pengerusi Pengelola Pesta Jagung Kampung Rebak 2026, Sopian Bujang.

Shikin Mahmud