BEKENU : Penduduk Kampung Padang Kelulit perlukan sebuah surau baharu ekoran jumlah penduduk yang semakin bertambah dan surau lama pula telah uzur.
Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Rosey Yunus berkata surau kampung yang berusia lebih 45 tahun itu kini perlu ditukar kerana sudah terlalu banyak bahagian yang rosak.
“Surat permohonan daripada Jawatankuasa Surau Kampung Padang sudah ada dan kini menunggu untuk kelulusan,” kata beliau ketika mengadakan lawatan kerja di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, jumlah penduduk di kawasan berkenaan semakin bertambah, maka suraunya juga harus dibina baharu untuk kegunaan penduduk melalukan aktiviti keagamaan dengan lebih selesa,” jelasnya.
Rosey yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut menasihati penduduk kawasan itu untuk terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 kelak.
Turut serta di dalam lawatan ini ialah Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merangkap Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Abdul Rahman Junaidi.
Datuk Abdul Rahman Junaidi kemudian menyalurkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) sejumlah RM5,000 kepada Jawatankuasa Surau Kampung Padang dan RM5,000 kepada Jawatankuasa Keselamatandan Kemajuan Kampung Padang.
Oleh Adum Liu