

Sesi libat urus Projek Pembinaan Kilang Memproses Beras Skim Padi Kampung Kaba telah diadakan di Dewan Pejabat Daerah Saratok hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
SARATOK: Projek Skim Padi Kampung Kaba kini menjadi tumpuan utama bagi meningkatkan pengeluaran padi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, dengan harapan ia dapat direalisasikan dan menjadikan Kampung Kaba antara pengeluar beras terkemuka di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata projek ini merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuhkan sosioekonomi penduduk tempatan serta penanam padi di kawasan sekitar.
“Saya berharap agar projek ini dapat direalisasikan sepenuhnya, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi baharu dan memperkukuhkan kedudukan Kampung Kaba sebagai pusat pengeluaran beras di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, satu sesi libat urus Projek Pembinaan Kilang Memproses Beras Skim Padi Kampung Kaba telah diadakan di Dewan Pejabat Daerah Saratok hari ini, di mana Kaunselor Majid Amit mewakili ADUN Kalaka mempengerusikannya.
Projek Skim Padi Kampung Kaba dicadangkan bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi melalui penggunaan teknologi moden, termasuk amalan pertanian terbaik dan pengurusan sawah padi yang sistematik.


Sesi libat urus Projek Pembinaan Kilang Memproses Beras Skim Padi Kampung Kaba telah diadakan di Dewan Pejabat Daerah Saratok hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
Selain itu, projek ini turut merangkumi pembinaan kilang beras yang mampu memproses hasil padi secara berkesan dan meningkatkan nilai tambah produk tempatan.
Projek ini dijangka memberi impak positif kepada komuniti setempat, meningkatkan pendapatan petani, serta menyumbang kepada pembangunan pertanian yang mampan di DUN Kalaka.
Hadir sama Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Abang Mohamed Abang Turkey serta ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) setempat.
Oleh Adi Safarman