
KATHMANDU: Pemandu pendakian veteran, Kami Rita Sherpa berjaya menawan puncak Gunung Everest buat kali ke-31, sekali gus memperbaharui rekod dunianya sendiri, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pemandu berusia 55 tahun itu mengetuai sekumpulan anggota Tentera India dan tiba di puncak pada awal pagi Selasa, menurut pengerusi Seven Summit Treks, Mingma Sherpa.
Kami Rita pertama kali menawan puncak setinggi 8,848.86 meter itu pada 1994 dan telah mendakinya hampir setiap tahun selepas itu, menurut Guinness World Records.
Bekas pengangkut barang yang kini menjadi pemandu ekspedisi itu juga pernah mendaki beberapa puncak Himalaya lain yang melebihi 8,000 meter.
Pesaing terdekatnya, Pasang Dawa Sherpa menawan puncak itu sebanyak dua kali musim ini, menjadikan jumlah keseluruhannya kini 29 kali, menurut syarikat ekspedisi Climbing the Seven Summits.
Awal bulan ini, pendaki gunung Britain Kenton Cool pula berjaya menawan puncak Everest buat kali ke-19, memecahkan rekodnya sendiri sebagai pendaki bukan etnik Sherpa paling kerap menawan puncak itu.
Sherpa merupakan kumpulan etnik dari kawasan pergunungan yang sering bekerja sebagai pemandu dan porter bagi pendaki gunung dari luar negara.
Gunung Everest boleh didaki dari Nepal dan Tibet yang ditadbir China, namun kebanyakan pendaki memilih laluan selatan dari Nepal, dengan kos permit sekitar AS$11,000. Menurut pihak berkuasa pelancongan Nepal, seramai 468 pendaki menerima permit itu untuk musim bunga ini.– Bernama-dpa