KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan penggunaan kamera badan untuk pegawai penguat kuasanya, selari dengan visi menjadikan Kuching Selatan sebuah bandar pintar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, inisiatif ini melibatkan 10 kamera badan yang akan digunakan oleh pegawai penguat kuasa semasa menjalankan tugas harian mereka, dengan matlamat meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, dan keselamatan.
“Kita ingin memastikan bahawa inisiatif ini dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap pihak penguatkuasaan kita ketika mereka menjalankan tugas.
“Saya ingin masyarakat terbiasa dengan perkara ini dan memahami bahawa ia bertujuan untuk melindungi mereka. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melindungi pegawai kita.
“Kamera badan ini berfungsi untuk merakam interaksi antara pegawai penguat kuasa dan masyarakat secara langsung, memberikan rekod yang jelas dan tidak berat sebelah.
“Jika tiada langkah seperti ini, sentiasa ada orang yang merakam video menggunakan telefon bimbit dan menyebarkannya, tetapi tiada siapa tahu siapa yang benar, siapa yang salah, atau apa yang sebenarnya berlaku.
“Oleh itu, dengan cara ini, akauntabiliti dapat diperkukuh dan ia penting kerana kita mahu bersikap adil kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media perasmian kamera badan MBKS di ibu pejabar MBKS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Sim turut menjelaskan bahawa masih terdapat beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang belum melaksanakan perkara ini sepenuhnya, namun usaha sedang dilakukan untuk memastikan pelaksanaannya dilakukan dengan segera.
Beliau berkata dengan ada langkah ini, sekurang-kurangnya semua PBT di Sarawak akan mempunyai satu standard yang sama, dengan pegawai penguat kuasa dilengkapi kamera badan.
Dalam perkembangan lain, Dr Sim turut menyatakan bahawa selain penggunaan kamera badan, pihaknya juga melaksanakan pelbagai inisiatif lain, termasuk beberapa projek perintis.
“Sebagai contoh, pada tahun lalu, kami memulakan projek perintis di Simpang Tiga yang melibatkan lampu isyarat pintar dan ambulans. Lampu isyarat ini dilengkapi pengesan yang boleh mengesan ambulans sejauh satu kilometer.
“Apabila ambulans menghampiri, lampu isyarat secara automatik akan bertukar hijau untuk memastikan laluan lancar tanpa perlu menghentikan kenderaan dari arah lain.
“Langkah ini sekali gus akan meningkatkan keselamatan pesakit dan orang awam, serta mengelakkan kemalangan akibat salah faham. Inisiatif seperti ini sangat penting dan sesuai dengan visi pembangunan untuk tahun ini,” katanya.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.
Oleh Mohd Neenatul Aizal