Kali pertama digandingkan, Eason-Yi Qi terus hadiahkan emas buat Sarawak

Facebook
WhatsApp
SEKITAR aksi skuad memanah Sarawak dalam acara Compound Bercampuran pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 di Stadium INSPEN, hari ini.

KAJANG: Tidak pernah digandingkan sebelum ini, apatah lagi menjalani latihan bersama, namun pasangan Eason Lau Hui Wan dan Wee Yi Qi membuktikan keserasian bukan penghalang apabila menampilkan kebangkitan dramatik untuk menghadiahkan pingat emas buat Sarawak dalam acara Compound Bercampuran pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 di Stadium INSPEN, hari ini.

Pasangan Sarawak itu bangkit dalam dua end terakhir untuk menewaskan gandingan Kedah, Muhammad Zaim dan Ili Nabihan Shafizan, dengan keputusan tipis 151-150.

Lebih manis, kejayaan itu turut menyaksikan Yi Qi muncul sebagai penyumbang dua emas buat Sarawak selepas membantu skuad wanita bersama Aira Nadirah dan Nur Zara Aisyah menjuarai acara Compound Berpasukan Wanita.

Dalam acara berkenaan, trio Sarawak turut mencipta kebangkitan apabila ketinggalan empat mata pada end ketiga sebelum bangkit pada end terakhir untuk mencatat 217 mata, sekali gus menewaskan Terengganu yang mengumpul 213 mata.

Bagi Eason, 21, kejayaan bersama Yi Qi cukup istimewa memandangkan mereka pertama kali digandingkan dan tidak pernah menjalani latihan bersama sebelum Sukma.

“Ini kali pertama kami digandingkan, sebelum ini lain-lain orang. Jadi saya sangat bangga kerana walaupun kali pertama digandingkan, kami sudah mendapat keputusan seperti ini.

“Program bina pasukan yang kami sertai sebelum ini banyak membantu mewujudkan keserasian kami,” katanya selepas pertandingan.

Eason berkata, dia pada awalnya berdepan kegugupan ketika aksi separuh akhir, namun kembali tenang sebaik melangkah ke final untuk menikmati saingan.

“Di peringkat separuh akhir, saya agak gemuruh. Namun selepas berjaya ke final, saya kembali tenang dan menikmati permainan ini,” katanya.

Sementara itu, Yi Qi, 17, menyifatkan pencapaian dua emas dalam penampilan sulungnya di Sukma sebagai sesuatu yang cukup membanggakan.

Katanya, pengalaman berdepan tekanan dalam pertandingan sebelum ini membantunya tampil lebih tenang dan konsisten dalam dua aksi final hari ini.

“Saya hanya memberikan yang terbaik. Saya sudah serasi dengan tekanan sejak semalam,” katanya.

Bagi Aira, 21, kebangkitan Sarawak dalam acara berpasukan wanita tercetus apabila mereka enggan mengalah walaupun ketinggalan pada end ketiga.

“Kami hanya fokus kepada permainan sendiri. Walaupun tahu kami hampir kalah, kami mahu terus memberikan tentangan hingga ke penamat,” katanya.

Dua emas yang diraih hari ini menyaksikan skuad memanah Sarawak kini mengumpul tiga pingat emas, sekali gus melepasi sasaran awal dua emas dan dua perak yang ditetapkan pada Sukma XXII Selangor 2026.

Oleh Shahrul Qaizat