
MIRI: Seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai kakitangan awam di sini mengalami kerugian sebanyak RM1.1 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada awal Disember 2024, yang menawarkan skim pelaburan dengan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa diminta memuat turun satu aplikasi pelaburan melalui pautan https://webzz.mbsc7club.com/ dan membuat beberapa transaksi secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan, malah diminta membuat bayaran tambahan untuk tujuan pengeluaran.
Dato Mancha menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat.
“Sentiasa semak kesahihan laman web atau syarikat pelaburan menerusi portal rasmi Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” tegasnya.
Orang ramai yang terlibat dalam transaksi mencurigakan disarankan segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997, serta memuat turun aplikasi Whoscall dan Investment Checker.
Semakan awal juga boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi semakmule.rmp.gov.my sebelum menjalankan sebarang urusan kewangan.
Untuk maklumat lanjut serta pendedahan modus operandi penipuan siber terkini, orang ramai digalakkan mengikuti saluran media sosial rasmi JSJK PDRM dan @CyberCrimeAlertRMP.
Oleh Adum Liu