

MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun melalui detik cemas apabila kaki kirinya terperangkap dalam lubang saluran air di bilik mandi rumahnya di Jalan Dato Permaisuri 1B, Permyjaya, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.09 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kaki mangsa tersangkut di dalam lubang saluran air di bilik mandi. Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kaki mangsa dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada kecederaan serius dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.47 petang selepas memastikan keadaan selamat.
Oleh Liong Chai Ling