SYDNEY: Seorang lelaki terpaksa dipotong kakinya selepas terperangkap di celahan batu sungai Australia ketika melakukan aktiviti berkayak, kini stabil selepas mendapatkan rawatan di hospital, menurut seorang pegawai kesihatan, hari ini.
Menurut jurucakap jabatan kesihatan Tasmania, keadaan pelancong asing itu disifatkan sebagai kritikal selepas mengharungi pengalaman ngeri selama 20 jam di Sungai Franklin Tasmania.
“Dia kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Diraja Hobart,” menurut jurucakap itu.
Media tempatan melaporkan, mangsa ialah warga Lithuania berusia 60-an yang sedang berakit bersama 10 rakan senegaranya ketika bencana melanda.
Sementara itu, polis berkata, mangsa melakukan aktiviti berkayak itu bersama rakan-rakannya pada 22 November lalu sebelum berdepan situasi cemas itu apabila kakinya tersepit di antara batu di celah sungai.
Bagaimanapun mangsa bernasib baik kerana jam tangan pintarnya memaklumkan kepada perkhidmatan kecemasan dan mencetuskan misi menyelamat “kompleks dan berlarutan”.
Walaupun pasukan penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa, namun kaki lelaki itu tidak dapat diselamatkan dan akhirnya terpaksa dipotong di situ juga. – AFP