KUALA LUMPUR: Kajian terhadap landskap karst batu kapur tropika yang akan dijalankan di bawah Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri bertujuan melindungi warisan Malaysia yang unik dan berharga, selain menyumbang kepada pembangunan mampan.
Pengarah Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, penyelidikan itu melibatkan pelbagai disiplin, termasuk pakar sains bumi, biodiversiti, landskap dan geowarisan, geologi pemuliharaan, dan kelestarian, sekali gus memastikan kajian menyeluruh aspek geologi, ekologi dan budaya untuk membuat keputusan termaklum mengenai pemuliharaan dan pengurusan sumber.
“Kewujudan landskap karst di Malaysia sangat sedikit, kurang daripada tiga peratus, dan penggunaannya sebagai sumber penting pembinaan dan industri menyebabkan penggunaan sumber itu berdepan konflik berterusan antara pemain industri dan masyarakat.
“Itulah sebabnya mengapa penyelidikan ini sangat penting bagi Malaysia dalam pelbagai bidang. Bukit batu kapur yang unik dan menawan di landskap ini mempunyai nilai estetika dan pendidikan, menarik minat kebudayaan dan pelancongan.
“Ia juga kaya warisan biologi, sejarah dan arkeologi, memelihara kepelbagaian masa lalu dan semula jadi negara,” katanya kepada Bernama.
Dilancarkan pada 26 Oktober lepas, Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri merupakan kerjasama antara YTL Cement Bhd dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak.
Dalam kerjasama lima tahun itu, YTL Cement akan memberi biasiswa kepada 40 pelajar Sarjana dan Doktor Falfasah menerusi konsortium tersebut untuk menjalankan penyelidikan mengenai landskap batu kapur tropika lestari dengan geran padanan daripada KPT, dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pihak universiti akan berfungsi sebagai hab kecemerlangan penyelidikan, menawarkan sumber, kemudahan dan kepakaran akademik yang menyumbang kepada penyelidikan berkualiti tinggi.
Ibrahim berkata, hasil kajian itu dijangka memberi implikasi meluas terhadap pengurusan mampan dan pemuliharaan persekitaran unik ini, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Menurut Ibrahim Konsortium Penyelidikan itu merupakan perkembangan daripada inisiatif YTL Cement sebelum ini.
YTL Cement, katanya, sejak 2014 secara proaktif memulihara bahagian selatan Gunung Kanthan di Perak yang kini dikenali sebagai Geotapak Bukit Kanthan.
Pada 2017, apabila kerajaan negeri Perak mengisytiharkan Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan, mereka turut bekerjasama dengan sekumpulan pakar untuk memetakan dan menggambarkan sempadan Geotapak Bukit Kanthan bagi tujuan pemuliharaan.
Ibrahim berkata, langkah itu yang merupakan usaha kerajaan negeri untuk menggalakkan pembangunan seimbang dan mampan, telah meletakkan YTL Cement sebagai syarikat pertama dan satu-satunya di Malaysia melaksanakan pemuliharaan di tapak pengkuarian aktif, yang menurut beliau perlu dicontohi organisasi lain.
“Konsortium Penyelidikan bermula dengan niat untuk memperkayakan pengetahuan mengenai sains kelestarian sumber bumi penting negara daripada perspektif mengimbangi keperluan sumber dan kepentingan memelihara warisan semula jadi.
Beliau berkata, penyelidikan itu dimotivasikan daripada kesedaran bahawa landskap batu kapur mempunyai peranan penting dalam pelbagai industri.
“Pembentukan geologi yang unik ini berfungsi sebagai sumber yang tidak ternilai, memberi kesan kepada sektor seperti pembinaan, pelancongan, dan banyak lagi.
“Visinya adalah untuk menggalakkan penyelidikan pelbagai dan merentas disiplin, yang akan membolehkan maklumat digunakan oleh perancang dan pembuat dasar untuk menentukan kesesuaian sumber bagi pemuliharaan warisan atau penggunaan lestari. Ini bagi mencapai keseimbangan antara pemuliharaan dan pembangunan,” katanya.
Menurut Ibrahim pelajar pascasiswazah dipilih untuk menjalankan penyelidikan itu dan bukannya pakar industri, memandangkan mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengajian khusus untuk diterapkan dalam konteks dunia sebenar.
“Ini boleh membawa kepada pandangan baharu, penyelesaian inovatif dan kreatif yang mungkin pakar industri terlepas pandang kerana cara pemikiran mereka. Ini juga akan menyiapkan ahli akademik sebelum menceburi industri,” katanya.
Lebih penting, Ibrahim berkata langkah itu juga akan memastikan gabungan idea-idea segar antara pelajar pascasiswazah dan pakar industri, sumber akademik, penglibatan jangka panjang dan kecekapan kos, sekali gus menyumbang kepada pendekatan holistik dan komprehensif terhadap isu yang sedang ditangani.
“Satu lagi hasil utama ialah pembangunan strategi komprehensif untuk memulihara dan mengurus landskap ini secara bertanggungjawab. Sepanjang lima tahun, kita boleh menjangkakan untuk melihat kemajuan ketara dalam mencapai keseimbangan antara pemuliharaan dan pembangunan mampan, yang membawa kepada pendekatan praktikal dan boleh diambil tindakan.
“Kerjasama ini akan menghasilkan saranan dasar yang praktikal berdasarkan hasil penyelidikan. Cadangan-cadangan ini boleh merangkumi peraturan guna tanah, piawaian keselamatan dan amalan kelestarian, menyediakan pelan tindakan untuk membuat keputusan termaklum mengenai pengurusan mampan landskap unik ini,” kata Ibrahim. – Bernama