Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kajian kebolehlaksanaan projek Kereta Api Trans-Borneo siap tahun depan
  • SEMASA

Kajian kebolehlaksanaan projek Kereta Api Trans-Borneo siap tahun depan

Utusan Sarawak 12 hours ago

Cadangan jajaran projek Kereta Api Trans-Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan.

KUALA LUMPUR: Kajian kebolehlaksanaan projek Kereta Api Trans-Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan dijangka siap pada suku ketiga 2026, demikian menurut Kementerian Pengangkutan.

Dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan di Dewan Rakyat oleh Vivian Wong Shir Yee (PH–Sandakan), Kementerian Pengangkutan berkata, perunding tempatan telah dilantik untuk menjalankan kajian berkenaan.

“Kajian selama 12 bulan bermula Jun 2025 dan laporan akhir dijangka siap pada suku ketiga 2026,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian online.

Menurut Kementerian Pengangkutan, kajian tersebut akan melibatkan analisis perbandingan terperinci meliputi aspek teknikal, komersial, sosioekonomi, operasi, tadbir urus, dan faedah sosial.

“Hasil utama yang akan diserahkan oleh perunding termasuklah cadangan pelan strategik, jadual, pelan tindakan, dan garis masa untuk pelaksanaan yang berjaya, di samping memastikan penerimaan dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan utama,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa sejumlah RM7 juta diperuntukkan bagi membiayai kos keseluruhan kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan Kereta Api Trans-Borneo.

Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata kos berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan kajian kebolehlaksanaan itu telah diluluskan untuk dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pembinaan infrastruktur itu dikatakan dapat memastikan integrasi ekonomi yang lebih kukuh, terutamanya dengan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.

Jika direalisasikan, rangkaian infrastruktur berkenaan akan meluaskan pasaran dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat serta menjadikan Borneo sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing.

Continue Reading

Previous: Premier Sarawak gesa kestabilan, kerjasama di Laut China Selatan
Next: MBKS, DBKL meterai MoU kerjasama strategik majukan bandar raya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.