Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kajian baharu diperlukan atasi kesesakan di Bulatan Matang
  • TEMPATAN

Kajian baharu diperlukan atasi kesesakan di Bulatan Matang

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATUK Amar Fadillah Yusof beramah mesra dengan salah seorang pelajar cemerlang pada Program Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang di Sekolah Menengah Sains Kuching, di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu menjalankan kajian dan menyediakan reka bentuk teknikal baharu bagi mengenal pasti penyelesaian paling sesuai untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Bulatan Matang berhadapan Emart Matang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, cadangan membina laluan susur bawah di lokasi tersebut pernah dikaji sebelum ini, namun didapati tidak sesuai kerana melibatkan pemindahan pelbagai utiliti utama yang rumit dan berisiko tinggi.

Menurut beliau, antara utiliti yang terlibat ialah paip air bersaiz besar, kabel elektrik serta pelbagai kemudahan bawah tanah lain yang akan menyebabkan pelaksanaan projek menjadi lebih kompleks.

“Cadangan itu pernah dikaji, tetapi JKR mendapati ia tidak sesuai kerana terlalu banyak utiliti di kawasan berkenaan. Pemindahan paip air bersaiz besar, kabel elektrik dan pelbagai utiliti lain akan memberi kesan yang besar.

“Sebab itu kemungkinan kita memerlukan reka bentuk teknikal yang baharu dan kajian yang lebih terperinci sebelum sebarang keputusan dapat dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Petra Jaya di Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, Petra Jaya, hari ini.

Fadillah berkata, selain Bulatan Matang, JKR bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut akan meneliti penyelesaian terhadap kesesakan di Bulatan Abang Kipali berhampiran Normah Medical Centre berikutan peningkatan aliran trafik di kawasan berkenaan.

Katanya, sebarang cadangan pembinaan infrastruktur baharu perlu mengambil kira fungsi asal bulatan yang bukan sahaja mengawal kelajuan kenderaan, malah mengelakkan kesesakan daripada berpindah ke persimpangan lain.

“Kalau kita buat jalan terus, kita hanya memindahkan masalah ke lokasi lain. Apabila satu bulatan menjadi lancar, kesesakan akan berpindah pula ke bulatan yang berikutnya.

“Sebab itu ada tempat yang lebih sesuai untuk mengekalkan bulatan bagi memperlahankan aliran trafik, di samping memastikan pengurusan lalu lintas lebih teratur,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini langkah pengurusan trafik seperti penempatan anggota kawalan lalu lintas oleh DBKU bersama Polis Diraja Malaysia pada waktu puncak masih menjadi pendekatan terbaik sementara menunggu hasil kajian terperinci JKR.

Tambah beliau, kajian aliran trafik oleh JKR dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pembangunan rangkaian jalan raya sentiasa seiring dengan pertumbuhan penduduk dan peningkatan jumlah kenderaan di kawasan bandar.

Program Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang dilaksanakan di bawah Parlimen Petra Jaya merupakan antara inisiatif bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar melalui pelbagai program pembangunan dan bimbingan yang berimpak tinggi.

Susulan sambutan serta keberkesanan program itu, SPMSTAR Workshop Siri Ketiga dijadualkan dilaksanakan tahun ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar di kawasan Petra Jaya menyertainya.

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Parlimen Petra Jaya dalam melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang serta membangunkan modal insan berkualiti.

Pada majlis itu, penghargaan turut diberikan kepada para guru atas dedikasi mereka dalam membimbing pelajar mencapai kecemerlangan, selain menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga yang menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Kelam Carbut Belia jadi platform belia tonjol bakat keusahawanan
Next: SBC kini jadi produk pelancongan ikonik Kota Samarahan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.