

KUCHING: Kerajaan disarankan untuk mengkaji semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan struktur yang lebih progresif, seperti yang dinyatakan dalam laporan terkini Bank Dunia, ‘Mengurangkan Ketidaksamaan dan Memperkukuhkan Mobiliti di Malaysia’.
Senator Dato’ Ahmad Ibrahim menyatakan bahawa penstrukturan semula sistem percukaian amat diperlukan untuk memastikan kelestarian ekonomi negara.
“Sebagai sebuah negara yang komited terhadap keadilan sosial, kita perlu meneliti secara objektif cadangan ini.
“Sejarah pelaksanaan GST sebelum ini menunjukkan bahawa ia merupakan sistem percukaian yang lebih telus dan menyeluruh berbanding SST.
“Jika diperkenalkan semula dengan mekanisme yang lebih baik, GST berpotensi mengurangkan ketirisan hasil serta meningkatkan pendapatan negara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menekankan keperluan untuk memastikan hasil kutipan GST digunakan secara efektif bagi memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial.
“Hasil GST harus disalurkan untuk subsidi bersasar kepada golongan B40 dan M40. Ini selari dengan cadangan Bank Dunia bahawa pendapatan cukai boleh dimanfaatkan dalam bentuk bantuan tunai dan inisiatif kebajikan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
“Kita tidak boleh menutup mata terhadap kebimbangan rakyat terhadap kos sara hidup. Oleh itu, sekiranya kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan GST, kadar cukai perlu ditetapkan pada tahap yang tidak membebankan rakyat, tetapi mencukupi untuk menampung keperluan fiskal negara.
“Contoh negara maju seperti Singapura, Australia, dan Kanada yang telah membuktikan bahawa GST boleh menjadi sistem cukai yang berkesan sekiranya disertai dengan langkah mitigasi yang sesuai,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa perbahasan mengenai GST tidak boleh berpaksikan kepada faktor politik semata-mata.
“Sebaliknya, kita perlu menilai dari segi kepentingan rakyat dan keadilan fiskal untuk memastikan Malaysia bersedia menghadapi masa depan yang lebih mampan,” tegasnya.
OLEH MASRIN AFFIRAH