Hukuman denda dan penjara yang dinaikkan, menunjukkan secara jelas ketegasan kerajaan memastikan tempat kerja dalam negara senantiasa selamat dan sihat.
Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, walaupun beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh pihak kementerian, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebagai pemegang amanah dan penguatkuasa dalam akta ini, perlu fokus kepada aktiviti penguatkuasaan di tempat kerja.
Katanya, dengan pindaan menaikkan nilai denda dan tempoh hukuman penjara semata-mata tanpa tindakan penguatkuasaan tidak akan membawa apa-apa makna.
“Kelewatan proses pengeluaran permit mesin, kekurangan bilangan kakitangan pemeriksa dan kelemahan proses siasatan adalah antara perkara pokok yang perlu diutamakan,” katanya pada sesi perbahasan di Parlimen semalam.
“Saya menyokong kepada pindaan yang menaikkan lagi kadar penalti denda kepada majikan serta menaikkan lagi tempoh denda penjara. Hukuman berat menunjukkan ketegasan dan komitmen kerajaan. Walau bagaimanapun, perkara pokok kepada asas kelemahan penguatkuasaan adalah apabila ia lari daripada fungsi sebenar,” katanya pada sesi perbahasan di parlimen, semalam.
Beliau berkata, tidak boleh dinafikan antara faktor penyebab kes-kes ini berlaku antaranya termasuklah kerana kelemahan penguatkuasaan itu sendiri, termasuk kekurangan pegawai pemeriksa, lambakan ke atas aset-aset dan kepelbagaian bidang tugas JKKP dilihat mengganggu tugas hakiki.
“Pada muka surat 28, menyatakan “Bahagian VIIA” (7A) orang kompeten dan penyedia latihan berdaftar dan klausa ini menyebut bahawa Ketua Pengarah JKKP mengawal selia pengurusan Orang Yang Kompeten dan Penyedia Latihan.
“Hal sedemikian ini, bagi saya, adalah penambahan bebanan tugas dan kerja hakiki sebenar JKKP. Orang Yang Kompeten dan Penyedia Latihan ini bukan melibatkan tempat kerja. JKKP seharusnya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada penguatkuasaan, pemeriksaan, penyiasatan, pematuhan peraturan majikan dan pekerja di tempat kerja,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau mencadangkan klausa RUU Pindaan pada Bahagian VIIA (7A) wajar dikaji semula oleh kementerian, kerana fungsi kawal selia Orang Yang Kompeten dan Penyedia Latihan ini boleh diletakkan di bawah mana-mana jabatan atau agensi sedia ada, seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.
“JKKP perlu kekal fokus kepada tempat kerja. fungsi-fungsi JKKP seperti melaksanakan kajian, penyelidikan, khidmat nasihat, galakan dan promosi, seharusnya diserahkan kepada jabatan dan agensi Kementerian Sumber Manusia yang lain.
“Saya mohon JKKP menumpukan sepenuh tenaga dan perhatian kepada pematuhan majikan dan pekerja di tempat kerja bukan di tempat lain,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA