SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengkaji dari segi implikasi Akta Pilihan Raya sebelum meluluskan permintaan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk balik mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, memberi bantuan atau subsidi untuk pengundi balik mengundi adalah satu kesalahan di dalam Akta Pilihan Raya.
“Ya perkara ini menyalahi Akta (Kesalahan) Pilihan Raya (1954). Oleh itu, kami perlu membuat kajian. Jadi atau tidak jadi (memberi bantuan) adalah perkara lain,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi GPS berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Air dan Sisa Kumbahan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan bantuan untuk subsidi kos tiket penerbangan itu permintaan daripada pelajar IPT sendiri pada program Lan Berambeh di Kuala Lumpur baru-baru ini, bagi membolehkan mereka balik mengundi.
Katanya, beliau akan mempertimbangkan permintaan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi GPS.
“Kita perlu mematuhi undang-undang pilihan raya. Namun, oleh kerana ini adalah pertanyaan daripada pelajar kita, jadi saya jawab saya akan mempertimbangkannya.
“Kita juga perlu mengkaji implikasi-implikasi yang akan dihadapi,” katanya.
Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan sogokan adalah setiap orang yang sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya secara langsung atau tidak langsung dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya memberikan, meminjamkan atau bersetuju untuk memberikan, meminjamkan, menawarkan, menjanjikan atau berjanji untuk mendapatkan apa-apa wang atau balasan bernilai kepada pengundi atau mana-mana orang lain bagi mendorong pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi.
Atau secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pengundi itu sudah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.