SURI duduk berdekatan di jendela. Termenungnya agak jauh memikirkan wasiat terakhir dari arwah neneknya. Neneknya menyuruh Suri untuk mewarisi warisan songket belatak miliknya. Namun Suri enggan, kerana minatnya lebih ke arah kebudayaan iaitu menjadi seorang guru penari. Ibu Suri seorang penari. Ibunya iaitu Dayangku Sari merupakan suku kaum kedayan Brunei. Manakala, Ayah Suri pula, berasal dari Sarawak.
Pertemuan cinta di antara Ayah dan Ibu Suri di Brunei, tanpa disengaja akhirnya membawa ke jinjang pelaminan. Sewaktu itu, Ayah Suri pergi ke Brunei kerana urusan kerja kemudian bertemu dengan Ibu Suri yang waktu itu sedang mengajar anak gadis di sebuah perkampungan mereka. Ayah Suri terpikat melihat budi bahasa yang tinggi dimiliki oleh Ibu Suri. Di samping raut wajahnya yang manis. Akhirnya, cinta antara mereka berdua, berputik kali pertama. Namun cinta Ibu dan Ayah Suri tidak direstui oleh Ibu kepada Ayah Suri. Ibunya iaitu Nurmala tidak menyukai menantunya yang seorang penari. Kesilapan masa lalu meragui keputusannya untuk menerima Dayangku.
Namun atas dasar cinta di antara mereka sangat kuat, sehinggakan Ayah Suri sanggup tinggalkan Ibunya sendiri demi untuk berkahwin dengan Dayangku. Nurmala tidak mahu Ayah Suri iaitu Awang Azman meninggalkannya. Dia satu-satunya anak yang dimilikinya. Terpaksa walau hati tersiksa, Nurmala merelakan jua Awang berkahwin dengan gadis pilihannya, Dayangku. Hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Dayang Suri.
Sejak dari kecil lagi, Suri diajar oleh Ibunya untuk menari. Mula-mula, agak janggal sedikit rasanya Suri untuk mengikut rentak halus Ibunya. Namun lama kelamaan, minatnya mula timbul untuk menari dan bahkan bercita-cita ingin menjadi seorang penari. Namun Nurmala nenek kepada Suri tidak mengizinkan satu-satu cucunya untuk menjadi seorang penari. Neneknya mengizinkannya untuk menjadi seorang pengusaha kain songket dan keringkam. Hasil usahanya berpuluh tahun yang lalu, rajin menenun setiap motif halus pada kain yang diperbuat dari benang emas. Berkat kesabaran, kerajinan dalam menuntut ilmu nenek Suri dari salah seorang rakannya yang pandai menenun kain songket.
Nenek Suri sangat mahir dalam menenun pelbagai kain songket. Nenek Suri sangat teliti, rajin dan sabar dalam menyolek songket demi nilai kualiti warisan songket yang diperbuat itu kelihatan indah dan unik. Kesabaran Nenek Suri diuji apabila mengikat benang di loseng untuk menghasilkan corak sebelum ditenun. Dan ketelitian itu, membuatkan nenek Suri menjadi lebih mahir apabila setiap pengiraan setiap reka corak motif yang dihasilkan, sama ada terhasil corak yang sama berjalur, atau teknik ikat pada corak tersebut.
Semestinya nenek Suri menjadi seorang penenun sudah menguasai sifir khas sebelum mempelajar teknik proses yang lain. Kerana satu proses agar songket kelihatan unik adalah teknik sembunyi benang serta rekaan motif pada kain songket. Proses yang diperuntukkan untuk membuatnya agak lama, kerana penggunaan benang sangat banyak dan harus ditenun satu persatu dengan corak yang berbeza.
Tempahan tahun demi tahun semakin mencecah ribuan, membuatkan nenek Suri membuka kilang perbuatan kain songket dan mengupah beberapa pekerja untuk menyambung kerja rumit itu. Namun hajat terbesar yang nenek Suri inginkan adalah, dia mahukan Suri cucu aslinya sendiri yang mengusahakan syarikat dan kilang songket atas warisan nama neneknya Nurmala. Namun sepertinya hajatnya itu, sangat rumit untuk dipenuhi oleh Suri. Tambahan pula, ibunya Dayangku terlalu memaksa untuk Suri menjadi seorang penari.
Oleh kerana itu, neneknya ingin Suri meneruskan warisan miliknya. Waktu yang begitu mencemburui, Memamahkan usianya yang semakin senja. Namun sebaliknya, Dayangku tidak mahu anak gadisnya mempelajari warisan songket tersebut, kerana baginya ia sangat rumit dan memakan masa yang agak lama untuk memahami setiap motif yang ada. Canggahan pendapat antara Dayangku dan Nurmala membuatkan hubungan mereka sebagai menantu dan Ibu mentua terasa asing.
“Ibu mahu kamu jadi seorang penari bukan menjadi pengusaha penenun songket. Ibu tak mahu kamu susah payah mempelajari songket yang agak rumit itu,” Dayangku cuba mempengaruhi minda Suri.
Walaupun Dayangku seorang yang dikenali wanita yang berbudi bahasa memiliki akhlak yang baik, sesiapa sahaja boleh cair melihat tingkah laku ayunya. Namun siapa sangka, hati manusia boleh berubah, sedangkan pantai lagi berombak, inikan pula hati manusia. Sedalamnya hati manusia hanya Allah yang tahu.
Suri yang masih mentah baru sahaja menginjak dewasa berusia 20 tahun itu hanya menuruti setiap kata-kata Ibunya. Suri tidak mahu membantah setiap perintah Ibunya. Dia tidak mahu melukai hati Ibunya. Suri teringat dengan satu ceramah dari ustazah zaman sekolahnya dulu “Jangan pernah menyakiti atau melukai hati seorang Ibu, yang telah susah payah melahirkan kita. Jangan membantah setiap perintahnya, jika ia tidak bertentangan dengan hukum agama,”
Akhirnya Suri menuruti perintah Dayangku.
Perkhabaran itu didengari oleh Nenek Suri. Hatinya berduka dan terasa amat sakit ibarat jantungnya seperti disiat-siat tajam oleh sebilah parang. Masih berbekas luka lama, ditambah pula luka baru. Nenek Suri marah dan tidak rela Suri menjadi seorang penari. Nenek Suri tidak mahu, luka lama terulang kembali. Dan bakal terjadi pula cucunya. Dia tidak mahu perkara itu terjadi lagi walaupun sudah bertahun lamanya.
Dua puluh tiga tahun yang lalu, sebenarnya Ayah Suri mempunyai seorang kakak sulung. Kakaknya seorang penari. Namun Allah sangat sayang akan arwah kakaknya, akhirnya arwah kembali ke pangkuan Illahi. Punca kematian arwah kakaknya ialah dirasuki oleh jin penari. Oleh kerana, arwah kakaknya tidak mahu sering diganggu sewaktu persembahan oleh makhluk halus, arwah mengamal ilmu ghaib iaitu meminta perlindungan dari dua alam. Arwah kakaknya setiap malam harus melakukan pemujaan dengan memberi makan, memuja dan menari sebagai menghormati setiap perlindungan yang diberikan.
Nenek Suri tidak membenarkan arwah kakak Ayah Suri untuk mengamalkan ilmu tersebut, kerana ia hanya memakan diri sendiri suatu hari nanti. Namun demi meneruskan hasratnya untuk menjadi seorang penari, arwah kakak Ayah Suri sanggup menyembah dan memuja makhluk halus demi kelihatan cantik sewaktu membuat persembahan.
“Bonda, tak izinkan kamu guna ilmu itu. Kamu tahu itu boleh membahayakan diri kamu suatu hari nanti. Dan boleh memakan diri kamu sendiri. Cukup! Jangan buat perkara yang mensyirikkan Allah!” Nenek Suri bersuara tegas untuk melarang arwah kakaknya mengambil ilmu hitam demi untuk kepuasan hati sendiri.
Segala kata-kata nasihat yang dilontarkan ibarat keluar telinga kanan, terus ke telinga kiri. Dia enggan mendengar nasihat yang diberikan. Bahkan menyatakan bahawa, dia sudah cukup dewasa untuk mengenal mana yang buruk dan mana yang elok.
Bak kata pepatah, bicara nasihat orang tua tidak mahu didengari. Dan menganggap nasihat itu remeh tidak penting bagi mereka yang masih mentah mengenal erti kehidupan. Arwah kakak Ayah Suri menerima padahnya sendiri atas perbuatan syirik yang dilakukan. Akibat satu malam itu, arwah kakak terlupa memberi makan atau membuat pemujaan sambil menari, membuatkan dia dirasuki oleh makhluk halus. Makhluk halus itu sangat degil dan terus menetap dalam badan arwah kakaknya. Sehinggalah, nenek Suri hilang akal untuk mencari asbab penyelesaian masalah tersebut. Nenek Suri memanggil seorang ustaz, demi mengubati penyakit misteri kerasukan arwah kakak. Namun malangnya, ustaz tersebut tewas. Dan tidak dapat menyelamatkan arwah kakak Ayah Suri.
Ustaz mengatakan bahawa makhluk halus itu sudah lama menetap dalam badannya. Dan tidak dapat dipisahkan roh dan jasadnya dalam badan arwah kakak sehinggalah dia menemui ajal.
Mendengar ungkapan yang terlahir di mulut ustaz Shahrul itu, membuatkan nenek Suri rebah terlunjur di lantai. Dia menyesal kerana gagal sekali lagi menghalang anak perempuannya untuk mengamalkan ilmu ghaib demi persembahan tariannya agar membuatkan orang ramai terpikat.
Nenek Suri menekup mukanya. Dia sangat sedih kerana pemergian anak perempuannya pada akhirnya berujung sia-sia. Pengakhiran yang mensyirikan hukum Allah. Nenek Suri memohon dan terus memohon agar anak perempuannya diampuni oleh Allah atas perbuatan syirik yang belum sempat arwah kakak bertaubat.
“Nenek? Nenek termenung ye? Termenung dengan siapa agaknya tu?” Sapa Suri suatu hari melihat lamunan nenek Suri jauh menelusuri entah ke mana, mungkin sampai ke bulan.
Nenek Suri tersentak seketika terdengar suara sapaan dari Suri. Peristiwa hitam yang terjadi dalam hidupnya membuatkan ia trauma untuk mengulanginya kembali.
“Nenek cuma teringatkan arwah Mak Long kamu sahaja, Suri…” Nenek Suri terhenti seketika. Tiba-tiba hatinya menjadi sebak. Air matanya mengalir lagi. Suri memberi sehelai tisu untuk mengelap air matanya yang mengalir di kelopak pipinya.
Suri mengesyorkan untuk sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Mak Longnya. Walaupun belum lagi melihat wajahnya, namun dia tahu neneknya pasti menyayangi Mak Longnya.
“Nenek harap sangat kamu menunaikan permintaan nenek. Nenek mahu, kamu teruskan perjuangan warisan yang nenek miliki sekarang. Warisan songket belatak. Kamu satu-satunya cucu yang nenek miliki sekarang. Kalau bukan kamu, siapa lagi yang meneruskan seni warisan yang ada ni!” Nenek Suri mengesat air matanya menggunakan tisu. Dia masih menanti jawapan dari cucunya. Dia sangat berharap jawapan yang diberikan adalah positif dan tidak melukai hatinya.
“Sejujurnya, saya tidak minat untuk belajar dan teruskan perjuangan membuat songket, nenek. Kerja ini sangat rumit. Saya tidak minat kerja yang halus sebegini! Saya minat menari! Bakat yang saya ada lebih ke arah menari!” Suri menghela nafas yang berat di kerongkong tekaknya. Helaan nafas yang sangat berat itu sepertinya sudah dihidu oleh nenek Suri. Wajahnya bertukar muram. Seakan kecewa mendengar luahan kata-kata Suri.
Namun nenek Suri memujuk hatinya supaya tidak berkecil hati dengan jawapan dari cucunya. Dia cuba untuk memahami kehendak cucunya. Nenek Suri memberi tempoh seminggu untuk Suri berfikir semula dan menimbang rasa soal permintaan nenek Suri.
Suri memicit kepalanya yang sedang pusing. Malam itu, merupakan malam yang agak memenatkan baginya. Kerana dia terpaksa memikirkan perkara yang agak berat untuk menimbangkan perkara itu semula.
Namun begitu, Suri mengagumi kecekapan, kesabaran dan keyakinan yang dimiliki oleh neneknya. Bukan calang-calang orang, di usianya yang sudah menjengah tua. Suri sendiri yang masih muda, dan masih mentah juga tidak mampu untuk menguasai ke semua bidang tersebut.
Pada pagi yang indah, saat suasana masih sunyi, tiba-tiba satu deringan telefon berbunyi. Nenek Suri memandang nombor tersebut yang miliknya salah seorang pekerjanya di syarikat kraftangan songket. Dia mengangkat telefon itu dengan penuh debaran. Hatinya mula berkecamuk. Entah mengapa, waktu itu pekerjanya tiba-tiba sahaja menelefon tanpa asbab. Lalu dia mengangkat sambil meninggalkan pelbagai persoalan terngiang-ngiang di fikirannya sejak tadi.
“Assalamualaikum, Puan Nurmala. Saya Ayu ni. Puan, saya hendak khabarkan bahawa syarikat kita mengalami kemerosotan jumlah pekerja pembuat songket. Tambahan pula, nilai tempahan semakin meningkat dari hari ke hari. Saya binggung Puan, apa yang hendak saya lakukan,” ujar Ayu di hujung talian dengan penuh sayu.
Nenek Suri terdiam sejenak. Waktu itu juga, hati dan dadanya ibarat tertusuk bertubi-tubi tanpa henti saat mendengar “Kemerosotan berlaku” Nenek Suri cuba menenangkan dirinya seketika. Dia tidak mahu penyakit darah tinggi dan jantungnya datang lagi. Sejak kebelakangan ini, nenek Suri sering didatangi penyakit darah tinggi dan lemah pada jantungnya. Kemungkinan tekanan emosinya kurang stabil. Sehinggalah waktu ketika dulu, nenek Suri pernah jatuh pengsan dan seluruh wajahnya pucat lesi. Akhirnya, dia telah disahkan oleh Doktor mengalami penyakit darah tinggi dan lemah jantung.
Doktor mengesahkan juga nenek Suri tidak boleh letih dan mendengar perkhabaran yang buruk, kerana ia boleh mengakibatkan penyakitnya datang semula.
Nenek Suri cuba menghela nafas untuk menjawab semula pertanyaan yang diajukan oleh Ayu. Nenek Suri yang sudah berusia menginjak angka 60 tahun itu masih lagi gagah berfikir. Dia masih seorang teliti, dan seorang profesional dalam membuat pekerjaan. Dia juga tidak suka membuat keputusan tatkala hatinya sedang ditimpa keraguan dan kegelisahan. Sikap terburu-buru membuatkan orang tersebut akan menyesal atas keputusan yang dilakukan.
Nenek Suri tidak mahu perkara itu terjadi.
“Macam ni aje Ayu. Buat masa sekarang ni, tiada jawapan yang hendak saya cakapkan. Izinkanlah bagi saya peluang masa untuk saya berfikir soal ini. Saya lantik awak sebagai setiausaha di syarikat tersebut untuk awak bijak mengendalikan sebarang kesulitan tersebut dengan baik. Saya mahu awak kendalikan dulu kemerosotan itu dengan mengambil beberapa pekerja yang mahir dalam membuat songket dan cuba tawarkan harga yang boleh memikat hati untuk bekerja di syarikat kita,” Ujar Nenek Suri berhati-hati. Hanya itu sahaja yang mampu dia katakan.
Kepercayaan yang diberikan oleh nenek Suri kepada Ayu sangat tinggi. Dia berharap sangat Ayu dapat kendalikan ia dengan baik. Ayu sudah lama bekerja sebagai setiausahanya selama lebih 10 tahun. Ketaatan dan kerajinan Ayu membuatkan nenek Suri lebih percaya untuk memberikan semua haknya untuk kendalikan syarikat buat sementara waktu.
Talian dihentikan sebaik sahaja mendengar arahan dari nenek Suri. Nenek Suri bersandar di sofa, dan melunjurkan kakinya. Dia berehat seketika, dan menghela nafas yang agak panjang, nafas itu seperti tersekat pada kerongkongnya agak menyulitkannya untuk menghela kali kedua. Dia memicit kepalanya yang masih pusing sejak dari tadi. Perkhabaran buruk yang disampaikan oleh Ayu menyebabkan dia semakin sulit untuk berfikir semula. Lemah seluruh kudratnya.
Suri yang keluar dari dalam biliknya terpana melihat nenek bersandar tidak bermaya. Wajah neneknya pucat lesi, dan jelas menampakkan kegelisahan yang terbesar mungkin sudah berlaku.
Suri menghampiri neneknya, lalu bertanyakan soalnya. Sudah dijangka dari awal oleh Suri, benar belaka firasatnya, pasti nenek Suri memikirkan soal syarikat kilang songket yang mulai terjejas. Hati Suri menjadi serba salah. Dia merasakan dia sudah membuat kesilapan besar kerana tidak membantu nenek Suri untuk menyelesaikan masalah tersebut. Namun apalah dayanya.
Sehari semalam, Suri berfikir semula untuk mempertimbangkan membantu nenek Suri sekaligus mewarisi songket tenunan milik nenek Suri. Melihat usia nenek Suri yang sudah menginjak ke usia tua, sudah tiba masanya dia mewarisinya, dan membenarkan neneknya untuk berehat panjang.
Muktamad! Itulah keputusan yang diambil oleh Suri.
Nenek Suri terkejut, jantungnya tiba-tiba berdetak laju mendengar keputusan yang diambil oleh Suri. Wajahnya tergambar riak bahagia bersulam sedih. Itulah yang diinginkan sejak dari dulu lagi, Suri cucu satu-satunya perempuan yang dimilikinya untuk mewarisi songket miliknya. Dan biarlah ia berterusan sehingga akhir zaman.
Nenek Suri mengukir senyuman pada saat-saat akhir hidupnya, sebelum dia menghembus nafas yang terakhir. Hajat dan doanya dimakbulkan oleh Allah. Suri berduka kerana selama ini dia gagal melaksanakan perintah yang diingini oleh neneknya. Namun dia juga bahagia, kerana sempat melaksanakan perintahnya saat-saat nafasnya dihujung tanduk.
Dayangku merasa sangat sedih dan hatinya serba salah. Dia tidak menyangka nenek Suri akan meninggalkan mereka sebelum dia merestui Suri menjadi pewaris songket milik nenek Suri.
“Ibu! Suri sudah membuat keputusan, untuk meneruskan perjuangan songket arwah nenek Nurmala. Suri mahu menebus segala keinginan dan hajat yang diingini arwah untuk kebaikan masa depan Suri,” Ujar Suri sambil menitis air matanya. Dia berbisik kecil di telinga Dayangku.
Dayangku akur, dan hanya menuruti sahaja perintah Suri untuk kali ini.
Dia memandang kubur arwah nenek Suri untuk tatapan kali terakhir. Kasih sayangnya kepada Ibu yang sangat disayanginya sangat mendalam. Dia tidak menyangka, Ibunya akan pergi begitu cepat seperti peredaran masa yang berlalu.