
BATU NIAH: Manfaatkan kuasa tular (viral) melalui pelbagai platform media massa dalam era digital ini bagi memasarkan produk kraf tangan tempatan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, antara yang kini semakin mendapat perhatian ialah seni kraf tangan berasaskan tenunan, khususnya penghasilan kain Buriek.
“Tahniah kepada Biro Wanita Rumah Jessica, Niah yang giat belajar membuat kain Buriek dan selampai Buriek. Inilah usaha yang ingin kita lihat.
“Selain itu, mereka juga mempelajari cara membuat tuak daripada para veteran yang memiliki gaya tersendiri dalam penyediaannya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada majlis Perasmian Program Biro Wanita Rumah Jessica di sini, semalam.
Tambahnya, golongan wanita di sini digalakkan untuk berkongsi ilmu dan kemahiran, terutamanya daripada kalangan yang berpengalaman agar warisan tersebut tidak pupus ditelan zaman.
“Dengan adanya kemahiran, sudah tentu ia dapat meningkatkan ekonomi dan menambah pendapatan keluarga.”
“Dengan ini, saya menyarankan agar platform kuasa tular (viral) dimanfaatkan bagi tujuan pemasaran produk.”
“Perkara yang penting bagi usahawan kita adalah menjaga kualiti produk agar orang ramai terus memilih dan membeli barangan kita,” tegasnya lagi.
Justeru, komitmennya terhadap seni ini bukan sahaja terserlah melalui hasil kerja yang teliti, tetapi juga melalui hasratnya untuk memastikan warisan budaya terus hidup dan dihargai oleh generasi akan datang.
Oleh Adum Liu