Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Kaedah lantik penghulu, ketua kaum dan tuai rumah perlu diubah
  • KOLUMNIS

Kaedah lantik penghulu, ketua kaum dan tuai rumah perlu diubah

Utusan Sarawak 6 hours ago

SEJAK kebelakangan ini, banyak isu berkisar kepada pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dipaparkan dalam media terutama platform media sosial.

Ada yang mahu pelantikan KMKK dibuat secara undian dalam kalangan penduduk kampung atau rumah panjang.

Ini dilakukan dalam pemilihan Ketua Kaum Kampung Melayu Bakong dalam Daerah Lingga baru-baru ini, sekali gus mencerminkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi.

Malah penduduk setempat dilaporkan hadir dengan komitmen tinggi bagi menentukan kepimpinan kampung untuk penggal akan datang. Sepanjang proses berlangsung, semua prosedur yang ditetapkan dipatuhi bagi memastikan ketelusan dan kelancaran pemilihan.

SESI pemilihan Ketua Kaum Kampung Melayu Bakong diadakan di Gelanggang Futsal Kampung Melayu Bakong, di Daerah Lingga baru-baru ini.

Pernah juga pemilihan melalui undi seperti ini di beberapa tempat sebelum ini tetapi tidak meluas.

Satu lagi perkembangan menarik ialah mengiklankan jawatan kosong iaitu jawatan ketua kaum di Kampung Kanchong Jaya, Daerah Gedong.

Iklan itu bertarikh 27 Januari 2026 dan pemohon dikehendaki mengembalikan borang pencalonan, salinan kad pengenalan dan dokumen berkaitan (jika ada) ke Pejabat Daerah Gedong sebelum atau pada 10 Februari 2026.

Yang menjadi perhatian ialah syaratnya seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia (tinggal menetap di rumah kampung berkenaan)
  2. Berumur 30 tahun ke atas
  3. Bukan kakitangan kerajaan, Kaunselor (Ahli Majlis Daerah), Imam ataupun kakitangan sektor swasta
  4. Tidak muflis
  5. Sihat mental dan fizikal
  6. Bebas daripada rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah
  7. Mempunyai aliran pemikiran dan daya kepimpinan yang dapat diterima oleh masyarakat setempat dan pemimpin tempatan
  8. Mengamalkan nilai integriti dan kepimpinan yang berwibawa
  9. Tidak memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik

Apakah pelantikan KMKK di tempat lain memenuhi semua sembilan syarat seperti itu terutama nombor 5 hingga 9?

PILIH YANG BERWIBAWA

Sebenarnya langkah mengadakan pemilihan untuk KMKK dan mengiklan jawatan seperti itu adalah lebih baik berbanding pelantikan terus melalui Pejabat Residen atau Pejabat Daerah, yang lazimnya mengikut ‘kehendak wakil rakyat’ semata-mata walaupun kepimpinan orang yang dilantik itu tidak menyerlah, gagal berfungsi dengan baik dan bagaikan hanya tahu menyambut kehadiran VIP di kawasan masing-masing.

Difahamkan wakil rakyat hanya boleh menyokong pencalonan, bukan ‘secara mutlak’ memilih kalau mengikut proses rasmi. Mungkin juga YB kawasan mahukan orang yang setia kepadanya, bagi melancarkan urusan kerja tetapi biarlah orang yang dipilih itu disukai masyarakat setempat serta layak memegang jawatan penghulu, ketua kaum atau tuai rumah.

SERAMAI 28 KMKK menerima sijil pelantikan semula manakala dua daripadanya merupakan pelantikan baharu pada penyerahan sijil pelantikan KMKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka di Pejabat Daerah Sibu, pada 3 Februari lalu.

Tiada masalah kalau wakil rakyat memilih atau menyokong pencalonan orang yang tepat bagi jawatan seperti itu

Ketua Masyarakat merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Temenggong, Pemanca, Penghulu, yang mengikut kaedah rasmi telah dilantik oleh Jawatankuasa Panel Pemilihan KMKK Bahagian.

Ketua Kaum pula merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Tuai Rumah, Kapitan, Ketua Kampung yang telah dilantik oleh Jawatankuasa Panel Pemilihan KMKK Bahagian.

Mulai 1 Januari 2026, elaun KMKK dinaikkan yang memberi manfaat kepada lebih 7,700 pemimpin dilantik termasuk Temenggong, Pemanca, Penghulu dan Ketua Kaum kerana mereka memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.

Ia menyaksikan kenaikan RM400 untuk imbuhan bulanan KMKK.

Elaun Ketua Kaum (KK), Tuai Rumah dan Kapitan Cina sebelum ini adalah sebanyak RM900 sebulan sejak 2018, iaitu kali terakhir pelarasan imbuhan mereka dibuat, dengan kenaikan RM100.

Elaun penghulu pula kini RM1,600 sebulan setelah dinaikkan.

Penulis pernah menulis isu ini pada 5 September 2024 bertajuk ‘Apa sebenarnya tugas KMKK?’, pada 12 September 2024 bertajuk ‘KMKK: Henti budaya bunuh Hang Nadim’, manakala pada 23 Oktober 2025 pula bertajuk ‘Ketua Masyarakat perlu dinaik taraf, gaji minimum’.

MESYUARAT KMKK kawasan Ba’ kelalan di sebuah hotel terkemuka di Lawas baru-baru ini.

Pernah seorang wakil rakyat mengadu kepada penulis mengenai karenah KMKK termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasannya. Beliau mempersoalkan apa kriteria pelantikan mereka, apa tugas sebenar dan sama ada mereka tahu tujuan pelantikan itu serta peranan yang perlu digalas.

PERLU IDEA BERNAS

“Saya perhatikan, sebilangan mereka bagaikan penyambut tetamu VIP atau wakil rakyat bila ada majlis sahaja. Selepas itu, duduk di kampung, kedai kopi tanpa ada usaha untuk merancang keperluan penduduk setempat atau dapatkan maklum balas apa orang kampung mahu.

“Mereka menyerahkan segala-galanya kepada wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk merancang pembangunan setempat. Wakil rakyat perlu idea pemimpin bawahan seperti ketua kaum yang sentiasa bersama rakyat. Bukankah elok jika KMKK ini bermesyuarat secara berkala mencari idea projek pembangunan kampung?

“Kemudian serahkan cadangan itu kepada wakil rakyat atau Pegawai Daerah untuk pertimbangan. Mungkin idea mereka lebih praktikal kerana mereka adalah pemimpin bawahan yang tahu masalah penduduk setempat. Kadangkala mereka bermesyuarat hanya untuk program kedatangan orang kenamaan dan menganjurkan program keramaian,” kata wakil rakyat itu.

Hakikatnya banyak projek pembangunan kecil dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu seperti Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Ini berikutan peruntukan besar diberi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Untuk rekod, setiap ADUN yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebenarnya diberi peruntukan RM5 juta setahun untuk melaksanakan pelbagai projek RTP, manakala setiap Ahli Parlimen GPS juga diberi peruntukan RM2.5 juta setahun oleh kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pelbagai Projek Tranformasi Luar Bandar.

Selain itu, Kerajaan Pusat pula menyumbang RM2 juta setahun untuk Ahli Parlimen melaksanakan MRP di kawasan masing-masing. Sebagai tambahan, kerajaan Sarawak memberi dana RM1 juta setahun khusus bagi setiap ADUN dan Ahli Parlimen untuk Program Baikpulih Rumah Rakyat Termiskin di kawasan masing-masing.

Orang ramai terutama KMKK perlu tahu hal dana ini dan mintalah atau cadang pada YB masing-masing jika ada rumah daif di kampung anda yang perlu dibaiki atau baik pulih. Pemimpin masyarakat perlu tahu keadaan rumah orang ramai di kawasan masing-masing. Itu tugas anda tanpa perlu menunggu si pemilik rumah memohon, kerana mereka mungkin tidak tahu kewujudan dana seumpamanya.

Selain peruntukan terus dari Kerajaan Pusat iaitu peruntukan RM1 juta setahun atas nama Projek Mesra Rakyat (PMR) untuk setiap Ahli Parlimen kerajaan, wakil rakyat GPS turut menerima peruntukan RM1 juta setahun pemberian kerajaan negeri.

Di sinilah pemimpin masyarakat terutama ketua kaum dan tuai rumah perlu membuat perancangan mengenai projek kecil di kawasan masing-masing, takkan cuma nak cari nama untuk pemberian tong coklat muda (dulu biru) sahaja.

Cari dan selidik keluarga yang mendiami rumah daif untuk diberi bantuan melalui Program Baikpulih Rumah Rakyat Termiskin.

Jika pemimpin masyarakat gagal berfungsi untuk membawa idea pembangunan di kawasan masing-masing, eloklah diganti dengan orang lain.

Mungkinkah kaedah pelantikan KMKK ini perlu diubah untuk disesuaikan dengan keadaan semasa, dalam usaha mencari pemimpin ‘grass root’ yang benar-benar berwibawa demi kepentingan rakyat?

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: LDP: Jatuh dan bangun semula

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.