Berkebun atau bercucuk tanam di rumah mampu menghilangkan tekanan dan rasa bosan. Tidak hairanlah ramai tertarik menjadikannya satu hobi, lebih-lebih lagi ketika pandemik.
Antara kaedah tanaman popular kini termasuklah hidroponik. Ia semakin digemari masyarakat kerana melaluinya, mereka mampu berkebun tanpa menggunakan tanah.
Utusan Sarawak baru-baru ini berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Kewangan Transformation of Organic Cultivation Local Agriculture Network (TOCLAN) Shukri Mortadza, tentang pertanian hidroponik, satu kaedah penanaman tanpa tanah dan hanya menggunakan larutan mineral di dalam air.
“Sejak 2017, kami telah memulakan program kesedaran tentang penggunaan media tanaman yang betul dan selamat untuk hidroponik. Selain penggunaan cocopeat, media utama yang kami gunakan adalah Cultilene Mineral Wool di mana kami merupakan main pengedar media tersebut untuk Malaysia dan Brunei. Media ini telah digunapakai sejak lebih 40 tahun lalu di Eropah.”
Menurut beliau, boleh dikatakan hampir semua tanaman boleh ditanam menggunakkan kaedah hidroponik ini terutama yang berakar lembut dan serabut, merangkumi sayuran berdaun (leafy vege), sayuran berbuah (fruity vege), herba dan tumbuhan hiasan. Ia juga bergantung kepada jenis sistem hidroponik yang digunapakai dan ada beberapa media yang selamat digunakan.
Ramai tidak tahu tanaman mampu hidup dengan subur tanpa menggunakan tanah dan sebenarnya tanah adalah media berkembang yang kurang efisien kerana tanaman akan menggunakan banyak tenaga pertumbuhan akar untuk mencari air dan nutrien.
“Sistem hidroponik ini boleh diguna pakai oleh petani atau boleh digunakan oleh semua. Ia juga sesuai untuk semua, termasuk petani komersial mahupun bertani secara hobi. Ia juga sesuai utk pelbagai peringkat umur dari enam hingga 80 tahun,” kata beliau.
Ketika ditanya mengenai hasil dari penggunaan sistem hidroponik ini beliau berkata, ia bergantung kepada jenis sistem yang digunapakai dan jenis tumbuhan yang ditanam.
“Sekiranya sayur berdaun (18-30 hari), manakala sayur berbuah (40-70 hari). Asas kepada sistem hidroponik adalah cahaya, ruang pertumbuhan, media pertumbuhan, sumber air dan solusi nutrien,” kata beliau.
Mengulas lanjut, hidroponik telah berada di Malaysia sejak tahun 80an. Seiring dengan masa, pelbagai sistem dan teknik hidroponik juga turut berkembang.
Justeru kata beliau, TOCLAN bukan sahaja merupakan pelopor dalam tanaman hidroponik tanah rendah secara komersia, bahkan merupakan Kebun Komersil Hidroponik Internet Of Things (IOT) yang pertama di Malaysia dengan Proof Of Concept (POC) daripada Malaysia Digital Economy Development Corporation (MDEC).
“IOT merupakan trend masa kini berkonsepkan hubungan diantara peralatan, mesin, sensor dan peranti serta pengumpulan dan perpindahan data melalui rangkaian internet.
“Selain aplikasinya dalam Smart Home, Smart City dan lain-lain, Smart Agriculture juga tidak ketinggalan. Dengan ada IOT ini dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti pertanian sambil mengekalkan kemampuan dan kelestarian rantaian nilai.”
Tambah beliau, pihaknya mengamalkan konsep pasaran terbuka. Setakat ini, para penjual burger, restoran dan juga pasar raya serta individu merupakan pelanggan utama mereka
Masyarakat perlu menceburi tanaman hidroponik kerana ia bukan saja menghasilkan sayuran lebih segar dan menyihatkan, malah membantu melestarikan alam sekitar.
Oleh AZREEN KERIA