
SIBU: Pengenalan kaedah ‘co-teaching’ atau pengajaran bersama, iaitu dua orang guru menguruskan satu bilik darjah di bawah Kurikulum Sekolah 2027, menimbulkan kebimbangan kerana berpotensi menambah beban tugas guru.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, kaedah baharu itu memerlukan lebih banyak perancangan dan penyelarasan antara guru.
Menurutnya, tumpuan seharusnya diberikan kepada penyediaan sokongan yang sesuai untuk guru, bukannya menambah beban kerja mereka.
“Selain itu, perlu ada tempoh peralihan yang mencukupi bagi membolehkan guru menyesuaikan diri dan membina budaya kerjasama dalam satu bilik darjah. Kita juga belum mengambil kira isu kekurangan guru,” katanya.
Beliau berkata demikian berhubung dengan pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung pelaksanaan kaedah pengajaran bersama.
Fadhlina sebelum ini menjelaskan pendekatan tersebut bertujuan mengimbangi pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah, serta menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan dengan memberi ruang kepada guru untuk lebih kreatif dan interaktif.
Lau berkata, konsep baharu yang menggabungkan beberapa mata pelajaran dalam satu sesi itu menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan, terutama berkaitan reformasi pendidikan yang kini menjadi perhatian masyarakat ekoran pelbagai isu yang berlaku di sekolah seluruh negara.
“Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memperincikan mekanisma pelaksanaan sebelum mengumumkan sebarang reformasi baharu kerana tiada penjelasan yang jelas diberikan kepada umum mengenai pelaksanaannya,” ujarnya.
Katanya, perkara ini amat penting bagi ibu bapa yang mengharapkan pendidikan berkualiti untuk anak-anak, bukannya lebih banyak ketidakpastian akibat dasar baharu yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pendidikan negara.
“Malah, menteri tidak perlu pergi jauh. Beliau boleh mempertimbangkan cadangan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dalam podcast bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi, yang mencadangkan supaya lebih ramai pembantu guru dilantik bagi mengurangkan beban pentadbiran, sekali gus meningkatkan kualiti dan keberkesanan pengajaran di bilik darjah,” katanya.
Oleh Akun Giman