Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kadar pengangguran pada November 2025 turun paras terendah dalam tempoh 11 tahun – DOSM
  • NASIONAL

Kadar pengangguran pada November 2025 turun paras terendah dalam tempoh 11 tahun – DOSM

Utusan Sarawak 17 hours ago
PENGANGGURAN Malaysia cecah paras terendah 11 tahun pada November 2025.

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran Malaysia pada November tahun lepas menurun ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun iaitu pada 2.9 peratus dan merupakan yang terendah dalam 132 bulan dengan bilangan penganggur sebanyak 518,400 orang, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia, November 2025, terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kali terakhir kadar pengangguran di bawah tiga peratus dicatatkan ialah pada November 2014.

Beliau berkata kedudukan ekonomi yang menggalakkan pada bulan terbabit dilihat terus menyokong pertumbuhan yang stabil dalam pasaran buruh dalam pelbagai sektor.

“Tenaga buruh bertambah sebanyak 0.2 peratus mencecah 17.61 juta orang pada November 2025 berbanding 17.58 juta orang pada Oktober 2025 manakala kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan berkenaan tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus seperti bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Mohd Uzir berkata kedudukan pasaran buruh Malaysia dijangka kekal stabil dan terus berkembang secara positif pada bulan-bulan akan datang dengan peluang pekerjaan baharu diwujudkan dalam sektor strategik, selain kemahiran tenaga kerja dipertingkatkan melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran manakala pembangunan wilayah yang lebih seimbang dijangkakan, dengan peluang pekerjaan meluas ke luar bandar.

“Justeru, pasaran buruh Malaysia diramal akan kekal kompetitif, inklusif dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran global, di samping memanfaatkan peluang daripada transformasi digital dan agenda hijau,” katanya.

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja berada dalam trend peningkatan pada November 2025, meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 17.09 juta orang berbanding 17.06 juta orang pada Oktober 2025 manakala bilangan penganggur pada November 2025 menurun sedikit 0.1 peratus kepada 518,400 orang berbanding 518,900 orang pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata sebanyak 74.8 peratus dikelaskan dalam kategori pekerja pada November 2025, merekodkan pertambahan sebanyak 0.1 peratus mencecah 12.78 juta orang berbanding 12.76 juta orang pada Oktober 2025 manakala bilangan penduduk bekerja sendiri turut meningkat 0.3 peratus kepada 3.26 juta orang, berbanding 3.25 juta orang pada bulan sebelumnya.

Bilangan guna tenaga dalam sektor perkhidmatan juga, katanya terus menunjukkan pertumbuhan yang stabil terutama dalam aktiviti kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial, perdagangan borong dan runcit, aktiviti penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman.

“Begitu juga sektor pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian turut mencatatkan peningkatan dalam guna tenaga,” katanya.

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja kurang dari 30 jam seminggu meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada 237,000 orang pada November 2025 berbanding 233,200 orang pada Oktober 2025 manakala mereka yang bekerja kurang 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup menerima tambahan jam bekerja merekodkan 129,900 orang berbanding 126,400 orang pada Oktober 2025.

“Oleh itu, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat kepada 0.8 peratus pada November 2025 berbanding 0.7 peratus pada Oktober 2025,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Amaran ribut petir di empat negeri, Wilayah Persekutuan hingga 7.00 malam
Next: Selepas lebih tiga dekad berbakti, Timbalan Ketua Pengarang Bernama Azlina Aziz bersara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.