
PUTRAJAYA: Kadar pengangguran pada Oktober 2025 kekal tiga peratus, mencatatkan 518,900 penganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh negara menunjukkan penambahbaikan berterusan, didorong aktiviti ekonomi yang rancak dengan pertumbuhan guna tenaga kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.
“Sehubungan itu, tenaga buruh meneruskan momentum peningkatannya, naik 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 17.58 juta orang berbanding 17.54 juta orang pada September. Kadar penyertaan tenaga buruh Oktober kekal 70.9 peratus, seperti yang direkodkan pada September 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Oktober 2025, merekodkan pertambahan 0.2 peratus kepada 17.06 juta orang daripada 17.03 juta orang yang dicatatkan bulan sebelumnya.
“Pada masa yang sama, bilangan penganggur naik sedikit 0.1 peratus kepada 518,900 orang berbanding 518,600 orang pada September 2025,” katanya.
Mohd Uzir berkata kategori pekerja merangkumi 74.8 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada Oktober dan kumpulan ini meningkat sedikit, iaitu 0.1 peratus kepada 12.76 juta orang berbanding 12.74 juta orang pada bulan sebelumnya.
“Begitu juga bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah 0.4 peratus kepada 3.25 juta orang, berbanding 3.24 juta orang pada September,” katanya.
Beliau berkata bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu terus menurun, susut sebanyak 1.4 peratus kepada 233,200 orang pada Oktober 2025 dengan bulan sebelumnya berjumlah 236,500 orang.
“Sehubungan itu, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup menerima tambahan jam atau diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan masa juga berkurang 1.7 peratus kepada 126,400 orang, merekodkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa 0.7 peratus berbanding September 128,600 orang,” katanya.
Mohd Uzir berkata prospek pasaran buruh Malaysia pada bulan-bulan yang akan datang dilihat akan terus positif dan berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang sederhana, pelaburan strategik, serta pembangunan modal insan.
-BERNAMA