Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Kadar kebolehpasaran graduan TVET pertanian KPKM meningkat
  • PENDIDIKAN

Kadar kebolehpasaran graduan TVET pertanian KPKM meningkat

Utusan Sarawak 4 hours ago
MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (empat, kanan) bergambar bersama penerima anugerah khas pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-13 Tahun 2025 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak (empat, kiri) dan (Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Hizatul Haliza Hashim (tiga, kanan). FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA: Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian di institut serta pusat latihan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mencatatkan peningkatan kepada 78.1 peratus pada 2023 berbanding 72.3 peratus pada 2022.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata KPKM berharap kadar itu terus meningkat dan melepasi sasaran ditetapkan iaitu melebihi 80 peratus.

“Pelbagai aktiviti dan program telah dan akan dilaksanakan KPKM bagi memastikan graduan TVET Pertanian yang dilahirkan akan memenuhi keperluan tenaga mahir,” katanya berucap pada Majlis Konvokesyen Pertanian ke-13 KPKM di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, kementeriannya telah menghasilkan 25,783 graduan terlatih sejak program berkenaan dimulakan pada 1969.

“Diharapkan pertambahan jumlah tenaga mahir dalam bidang agromakanan akan dapat mempertingkatkan daya saing industri agromakanan negara di pasaran global, seterusnya menjamin kelangsungan bekalan makanan negara,” katanya.

Mengambil maklum mengenai kekurangan kecenderungan belia terhadap sektor agromakanan, Mohamad berkata KPKM akan memastikan usaha meningkatkan penglibatan belia dipacu melalui penerapan teknologi baharu di dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Ia termasuk penglibatan dan kerjasama strategik bersama pihak swasta serta pelaburan dalam industri bernilai tinggi yang mampu meningkatkan daya saing dan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Sepanjang 2024, beliau berkata KPKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik merangkumi peningkatan kemudahan di Institut Latihan TVET pertanian, penambahbaikan kurikulum dan peningkatan penglibatan anak muda.

“Pada 2024, sebanyak RM26.3 juta telah diperuntuk untuk menambah baik kemudahan di semua institut latihan TVET pertanian dan RM479,000 telah dibelanjakan di bawah program mekanisasi dan automasi,” katanya.

Mohamad berkata pada tahun ini, peruntukan mekanisasi dan automasi telah ditingkatkan kepada RM1.35 juta iaitu peningkatan 182 peratus bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran pelatih dan pelajar berada pada tahap yang terbaik.

“KPKM melalui Institut Latihan TVET Pertanian akan sentiasa menyemak dan menambah baik kurikulum yang diguna pakai bagi memenuhi keperluan dan kehendak industri.

“Pada 2024 juga, sebanyak tiga Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), dua Bahan Pengajaran Bertulis (WIM) dan satu Penyedia TVET telah dikemas kini untuk diguna pakai di semua institut Latihan TVET Pertanian yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan merangkumi penambahan kepada Unit Kompetensi, berdasarkan kepada keperluan terkini oleh industri, perkembangan terkini teknologi dan Internet benda.

“Semua ini bertujuan melahirkan graduan yang kompeten dalam pelbagai bidang pertanian, bukan sahaja bagi memenuhi permintaan tenaga kerja mahir daripada sektor awam dan swasta, malah untuk melahirkan graduan yang bakal menjadi usahawan dalam bidang pertanian,” katanya.

Pada konvokesyen itu, sebanyak 448 graduan menerima sijil dan diploma antaranya Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan.- Bernama

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak ambil beberapa inisiatif tangani isu kekurangan guru
Next: Lawatan pelajar ke OM Materials, tingkat pengetahuan teknologi kimia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.