
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara Sarjit Singh menyifatkan tindakan pemain tengah berpengalaman Mohammad Fitri Saari, yang dilayangkan kad kuning dalam aksi menentang New Zealand semalam sebagai satu kesilapan yang menjejaskan rentak permainan Malaysia dalam usaha memburu slot ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2025
Sarjit berkata sebagai tonggak utama pasukan, Fitri sepatutnya lebih berhati-hati dalam memastikan kelangsungan momentum Speedy Tigers, apatah lagi perlawanan itu amat penting dalam menentukan kedudukan kumpulan.
“Semoga pemain sedar akan perkara ini. Saya harap Fitri pun sedar. Maksud saya, sebagai pemain senior, anda perlu lebih berhati-hati kerana pasukan sangat memerlukan anda. Anda adalah antara tonggak utama pasukan, namun saya tidak mahu menyalahkan sesiapa,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Berdasarkan peraturan FIH, pemain yang menerima kad kuning akan digantung sekurang-kurangnya lima minit manakala kad hijau membawa penggantungan dua minit.
Sementara itu, pemain pertahanan negara Faiz Helmi Jali berkata kehilangan seorang pemain di atas padang memberi kesan ketara terhadap corak permainan pasukan yang ketika itu menguasai perlawanan.
“Itu kesilapan kecil daripada kami. Hampir 15 minit kami bermain dengan 10 orang, memang sukar untuk bertahan. Ruang jadi terbuka dan New Zealand memanfaatkannya. Kad kuning memang beri impak besar dalam perlawanan.
“Untuk aksi terakhir nanti, kami sudah nekad. Ini gelanggang sendiri dan kami belum menang lagi. Jadi, apa pun keputusan antara Pakistan dan New Zealand, kami wajib menang perlawanan terakhir,” tegas Faiz.
Sementara itu, penjaga gol negara Mohd Hafizuddin Othman turut mengakui layangan kad kuning menyukarkan tugasnya mempertahankan gawang daripada serangan bertali arus pasukan lawan, khususnya pada suku keempat.
“Kita mendahului 3-0 di tempat sendiri. Tapi bila terima kad, permainan jadi lebih sukar… tambahan pula menentang pasukan seperti New Zealand. Banyak kali kita kehilangan bola dan banyak ruang terbuka,” katanya.
Malaysia yang mendahului 3-0 pada satu ketika gagal mengekalkan kelebihan selepas tiga layangan kad, iaitu dua kad kuning kepada Fitri Saari (minit ke-44) dan Muhajir Abdul Rauf (52’), serta satu kad hijau kepada Syed Syafiq Syed Cholan (40’), membenarkan New Zealand bangkit meledak empat gol pantas (minit ke-44, 45, 46 dan 52).
Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia kekal di tangga ketiga Kumpulan B dengan satu mata, dan kini perlu mencatat kemenangan besar ke atas pasukan tercorot, Jepun pada aksi terakhir kumpulan Rabu ini, sambil mengharapkan Pakistan (empat mata) tewas dengan jaringan besar kepada pendahulu kumpulan, New Zealand (enam mata).
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir, manakala dua pasukan tercorot akan bersaing bagi penentuan tempat kelima hingga kelapan.- Bernama