
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir mencadangkan agar pertandingan tarik tali peringkat Sarawak dianjurkan di Kabong, sekali gus menyatakan keyakinan bahawa daerah itu berpotensi menjadi hos kejohanan bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan di Kabong mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan tradisional tersebut selain meningkatkan penyertaan dan minat dalam kalangan masyarakat setempat serta luar daerah.
Dalam ucapan beliau sempena Kejohanan Tarik Tali Terbuka Zon Tengah dan Jemputan 2026 di Padang Bola Sepak Kabong, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha menganjurkan acara berkenaan dengan jayanya.
Menurutnya, Bahagian Limbang boleh dijadikan contoh dalam penganjuran pertandingan tarik tali yang lebih tersusun dan berimpak tinggi, sekali gus memberi inspirasi kepada Kabong untuk menganjurkan kejohanan yang lebih besar pada masa hadapan.

Chee Kadir turut menyarankan agar sukan tarik tali di Kabong dijadikan acara tahunan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan tradisional ini terus diperkasakan.
Tambah beliau lagi, walaupun kejohanan kali ini bermula secara sederhana dengan penyertaan tujuh pasukan, ia merupakan satu permulaan yang baik ke arah penganjuran lebih besar dan berprestij.
Kejohanan tersebut menyaksikan pasukan TMD9 muncul sebagai johan (RM1,500, piala dan pingat), diikuti Budak Kampung Bintangor sebagai naib johan (RM1,000, piala dan pingat), manakala Fire Fly Perpat berada ditempat ketiga (RM700, piala dan pingat) dan X Jerak Gerigat dikedudukan keempat (RM300).
Sementara itu, Chee Kadir turut memuji semangat masyarakat Kabong yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap pelaksanaan pelbagai program komuniti dan sukan, serta merakamkan penghargaan kepada Kelab Tarik Tali Trass Merah Kabong atas kejayaan menganjurkan kejohanan tersebut dengan baik.
Beliau bersama isteri, Datin Meryani Yassin hadir memeriahkan kejohanan berkenaan yang turut disertai pelbagai pasukan dari sekitar Kabong, Perpat, Gerigat dan Bintangor, sekali gus menjadikan acara itu sebagai platform penting dalam mengeratkan silaturahim dan memartabatkan sukan tradisional di peringkat lebih tinggi.
Oleh Adi Safarman