
KABONG: Komuniti Kabong bakal memiliki mercu tanda baharu dengan bermulanya pembinaan Dewan Masyarakat Kabong selepas majlis serah tapak disempurnakan ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir hari ini.
Projek yang dijadualkan siap pada 14 Januari 2027 itu menandakan langkah besar dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Skop kerja melibatkan pembinaan satu blok dewan baharu, kerja-kerja perobohan dewan lama, pemasangan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E), kerja luaran seperti batu kelikir tahan lasak, pembinaan parit konkrit bertetulang dan parit tanah, pembinaan pusat tong sampah serta penyediaan papan tanda dalaman dan luaran.
Menurut Chee Kadir, projek ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan moden dan serba lengkap untuk kesejahteraan masyarakat Kabong.
“Dewan ini akan menjadi pusat aktiviti masyarakat, lokasi pertemuan rasmi, serta medan pelaksanaan program pembangunan sosial, ekonomi dan kebudayaan,” tegas beliau.
Majlis serah tapak turut disaksikan oleh wakil jabatan teknikal, kontraktor pelaksana, pemimpin tempatan dan penduduk yang hadir memberikan sokongan penuh terhadap pembangunan di kawasan ini.
Oleh Adi Safarman